Wednesday, December 23, 2009

Membuat keputusan & Takdir

Terima Kasih saudara ah madd dan anonymous. Komen anda dalam Post saya yang lalu berjodol 'Membuat keputusan' membawa perhatian kita kepada sesuatu yang seringkali terjadi dalam kehidupan manusia, iaitu takdir - ataupun suatu ketentuan ilahi yang hanya tuhan sahaja yang maha mengetahui tentangnya. Takdir datangnya keapada kita dalam berbagai bentuk, samada yang menggembirakan mahupun yang mendukacitakan.

Meskipun demikian, adalah lumrah bagi manusia untuk mengaitkan takdir dengan perkara yang tidak diingini berlaku. Dalam konteks ini, selalunya takdir dikaitkan dengan sesuatu yang bukan pilihan yang harus terpaksa diterima dengan pasrah. Dengan itu, persoalan takdir menjadi sesuatu yang mungkin mudah diperkatakan tapi pada hakikatnya sukar diterima, lebih-lebih lagi kepada orang yang baru sahaja menghadapinya. Mungkin sebab itulah timbulnya pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’.

Malah ada kelompok manusia yang mengambil jalan mudah dengan memberikan jawapan ringkas kepada sesuatu kejadian dalam hidup mereka, lebih-lebih lagi yang mereka tidak suka, sebagai takdir. Dalam keadaan itu, perkataan takdir menjadi azimat besar khususnya bagi memujuk / merawat hati mereka lantaran kejadian yang tidak mereka ingini. Ada juga segelintir yang menggunakan istilah takdir sebagai alasan untuk menjadi malas. Apapun, terpulanglah kepada perspektif mana kita melihatnya dalam mengaitkannya dengan kehidupan masing-masing.

Dalam konteks BLP saya melihat takdir dari perspektif kehidupan dan juga fasa kejadian sesuatu yang kita anggap sebagai takdir itu - iaitu sebelum kejadian, semasa kejadian dan selepas kejadian.

Sebagai seorang yang praktikal dalam menjalani kehidupan, saya ingin memberi tumpuan kepada ‘The How’ iaitu bagaimana kita menghadapi situasi ketika berlakunya sesuatu yang kita anggap sebagai takdir dalam kehidupan kita. Ini bermakna ketika (semasa) dan juga selepas berlakunya kejadian tersebut sesuai dengan komentar saudara ‘anonymous’. (Penerangan terperinci mengenai kenapa dan punca berlakunya kejadian tersebut (The Why) serta teknik-teknik khusus menghadapinya, saudara boleh dapati dalam buku saya yang akan diterbitkan tidak lama lagi).

Bagaimana seseorang menghadapi situasi tersebut dan apa juga keputusan yang dibuatnya pada ketika dan selepas ia berlaku akan mempengaruhi kualiti kehidupan dirinya pada ketika itu dan lebih-lebih lagi dimasa hadapan.

Berikut saya gariskan beberapa tips untuk memperingatkan diri saya sendiri dan sebagai tambahan peringatan kepada pembaca. Barangkali perkara-perkara yang saya gariskan dibawah ini sedikit sebanyak boleh membantu kita dalam membuat keputusan ketika menghadapi sesuatu kejadian mahupun sesuatu yang adakalanya dianggap takdir;

#1. Menerima hakikat kejadian sambil ‘berbaik sangka dengan alam’ bahawa perkara itu telah berlaku dan pasti ada hikmah disebaliknya. Bagi orang yang kuat imannya, mereka akan terus sembahyang dan mengadu dengan tuhan mereka.

#2. Melepaskan perasaan kecewa kita sebagai insan yang bernama manusia yang mempunyai naluri emosi -misalnya menangislah jika perlu, cuma jangan menangis terlalu lama hingga hilang pertimbangan dan lalai daripada membuat tindakan. ‘Quickly Bounced-back’!

#3. Dalam pada itu, sedapat mungkin kawal emosi dengan fikiran jika mampu supaya tindakan melepaskan perasaan itu tidak keterlaluan hingga boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan diri dan orang lain. (mislanya bertindak agresif, memandu laju, mabuk dan sebagainya)

#4. Mencari seseorang sahabat tempat mengadu. Namun pastikan orang itu adalah pilihan yang sesuai, jika tidak, boleh mengundang masalah lain yang akan lebih mengaibkan diri sendiri atau orang yang ada kaitan dengan kejadian yang dialami. Dalam hal ini, elakkan daripada membebel-bebel dan membuka pekong didada kerana ramai orang terseliuh bukan kerana kakinya tetapi kerana lidahnya.

#5. Mengawal diri daripada melayan persoalan ‘sepatutnya’. Ini kerana perkara itu telahpun berlaku dan melayan persoalan ‘ini tidak sepatutnya berlaku kepada saya’ tidak akan menyelesaikan apa-apa dan hanya akan menambahkan stress yang bakal mengundang trajedi lebih besar.

#6. Mengambil tindakan untuk membuat pembetulan (Corrective) dan pencegahan (Preventive) yang sewajarnya mengikut kompleksiti dan kejadian yang berlaku. Pastikan tindakan-tindakan tersebut adalah berkesan.

#7. Membuat tindakan susulan (follow through) sampai kepenghujung untuk mencapai objektif tindakan pembetulan dan pencegahan tadi.

#8. Sentiasa berdoa dan berperasangka baik dengan alam.

Terima kasih saudara Ah Madd dan Anonymous di atas peringatan yang diberikan. Jika saudara pembaca mempunyai 'tips' lain yang boleh dikongsikan bersama, amatlah saya alu-alukan. Kita sama-sama belajar dalam pengembaraan mengharungi kehidupan yang indah ini.

Sehubungan dengan itu, persoalan ini juga membuat saya terfikir tentang kata orang tua-tua dahulu..”Ikutkan hati - mati, ikutkan rasa – binasa”. Jadi kita nak ikutkan apa .....?

Salam Tahun Baru

Kenangan di China Disember 2009


Maafkan saya kerana lambat memberi maklumbalas terhadap komen dalam blog ini. Saya baru kembali daripada lawatan kerja di Guangzhou, Shenzen dan Shanghai China.

Friday, December 4, 2009

Membuat Keputusan

Terima Kasih saudara Ah Madd di atas komen anda yang lalu iaitu .. “Begitulah adat sebagai manusia..kita merancang-rancang untuk mendapatkan hasil terbaik, tapi Allah SWT yang menentukan jadi atau tidak. Saya harap preview yang akan datang diadakan dengan meriah kerana lebih bersedia.” .. komen saudara ini memberikan cetusan ilham kepada saya dipagi yang indah ini  Terima kasih juga atas doa saudara. Semoga niat dan tujuan kita tercapai juga akhirnya.

Selain daripada perancangan, setiap seorang daripada kita, telah diperkasakan (empowered) oleh Tuhan untuk membuat keputusan, khasnya dalam menentukan pilihan. Coba kita imbas kembali kehidupan seharian kita selama ini,... disetiap ketika dan keadaan, samada kita sedari atau tidak, kita akan sentiasa berhadapan dengan keperluan untuk membuat keputusan. Tidak kira samada ia berkaitan dengan perkara yang kecil mahupun besar.

Daripada memilih pakaian untuk dipakai, - makanan atau minuman untuk sarapan, - marah atau tidak ketika jalan raya sesak, - senyum, selamba atau muram ketika berhadapan dengan orang lain dalam situasi yang berbeza, - hinggalah ke hal ehwal memilih pasangan hidup, merancang keluarga, kerjaya masa depan dan berbagai-bagai lagi situasi dan kondisi. Pilihan harus dibuat.

Sebenarnya selagi kita mempunyai pilihan untuk membuat keputusan, itu adalah rahmat yang harus kita syukuri. Kerana terdapat sebilangan manusia di muka bumi ini yang tidak banyak pilihan untuk di ambil lantaran keadaan kehidupan mereka.

Apa pun keputusan yang kita buat dalam kehidupan ini akan mempengaruhi masa depan kita. Bagaimana keadaan dan dimana kedudukan kita sekarang adalah akibat daripada keputusan kita kelmarin - dan dimana kedudukan dan keadaan kita esok akan ditentukan oleh keputusan kita hari ini.

Apa yang penting ialah kita harus bertanggung jawab di atas apa juga keputusan yang kita buat. Kita tidak seharusnya mempersalahkan orang lain jika sesuatu yang tidak diingini terjadi akibat daripada keputusan kita itu. Kerana kita sendiri yang telah membuat keputusan - atau ‘kumpulan kita secara kolektif’ mengikut sistem yang telah kita terima sebagai norma kehidupan. Tidak kira samada ianya dibuat secara D.I.Y (Do it Yourself) dan D.I.T (Do it together) semuanya harus bertanggungjawab akibat daripada pilihan yang dibuat.

Tuhan telah memberikan kita akal dan fikir. Dia telah memberikan kita kuasa untuk membuat pilihan bagi menentukan nasib kehidupan kita. Sebab itulah kita harus menuntut ilmu dan memiliki pengetahuan yang bermanfaat untuk digunakan bagi membuat keputusan berpandukan seni dan sainsnya (Art and science of decision making), dalam perjalanan hidup ini. Dengan adanya penghayatan dalam ilmu pengetahuan akan membantu kita agar mengikut fikiran dan bukan hanya emosi ketika membuat keputusan. Saya akui ini bukannya mudah, dan tidak ada jalan pintas, melainkan harus dialui sendiri dalam perjalanan hidup masing-masing.

Dalam konteks BLP, memang ada beberapa teknik dalam membuat keputusan (ini akan kita bicarakan lebih lanjut dalam kesempatan lain). BLP menganjurkan agar kita sentiasa peka dengan aliran alam (Flow of nature). Ada perkara yang tidak perlu di paksa kerana ia akan mengambil bentuknya sendiri bila tiba masanya. Ada juga perkara yang jika kita lambat, walau seketika, kita akan kehilangan peluang keemasan yang amat bernilai. Sebab itulah BLP menilai sesuatu dari sudut seni dan sainsnya (art and science). Ini kerana, adalah lumrah untuk meletakkan keutamaan (priorities) berasaskan banyak ‘variables’ seperti niat, objektif, masa, keperluan, implikasi kepada orang lain yang terlibat, ‘magnitude’ isu, mahupun peluang dan sebagainya. Oleh kerana itu, kos melepas akan pasti berlaku. Walau bagaimanapun, Keputusan harus di buat - Tanggungjawapan harus dipikul - Perjalanan harus diteruskan.

Coba kita renungkan, adakah keadaan kita sekarang ini akibat daripada keputusan yang kita ambil sebelum ini secara pilihan ‘by choice’ ataupun kita sebenarnya terpaksa menerimanya sahaja terpaksarela kerana tiada pilihan ‘by-chance’? Apa pun jawapan kita, hakikatnya kita telah membuat suatu keputusan. Tidak membuat keputusan juga sebenarnya adalah satu keputusan. Kualiti keputusan kita hari ini akan mempengaruhi kualiti kehidupan kita di masa depan.

Wednesday, December 2, 2009

Perubahan Tarikh Perbiu BLP

Salam kemaafan banyak-banyak. Prebiu BLP yang sepatutnya di adakan pada 12hb Disember 2009 ini akan ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Ini disebabkan saya harus menghadiri satu mesyuarat penting di Guangzhao China pada 11 hingga 14 Disember ini berkaitan dengan 'The Balance Living City'. Harap maklum dan harap maaf.

Saturday, November 28, 2009

Jawapan Ditangan Anda

Saya merasa terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan mengenai satu perkara asas berkaitan BLP. Ini berikutan pengakuan yang saya terima daripada beberapa orang rakan yang mengatakan bahawa mereka merasa segan dan agak keberatan untuk menyertai program membina kehidupan seimbang (BLP) sebegini disebabkan keadaan kehidupan mereka yang tempang, kurang sempurna dan penuh dengan kelemahan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Saya rasa, mungkin salah satu sebab kenapa perkara ini timbul ialah, apabila saya mengatakan bahawa, jika kita hendak mengajak orang lain mengikuti program BLP, kita hendaklah mengamalkan (walk-the-talk) amalan dan tips-tips indeks yang terkandung dalam BLI terlebih dahulu. Mungkin kenyataan ini menimbulkan kebimbangan dikalangan mereka kerana, bagaimanakah mereka hendak mengajak orang lain sedangkan diri mereka sendiri masih bergelumang dengan masalah peribadi, isu moral, gaya hidup bebas, masalah rumahtangga, kepincangan keluarga dan bermacam-macam lagi masalah lain yang mengaibkan. Bagi mereka yang berada dalam situasi tersebut, sudah tentu akan merasa tertekan. Selain daripada dihantui perasaan merasa bersalah (guilty concience) mereka juga tidak mahu dilabel sebagai hipokrit yang ’cakap tak serupa bikin’. Saya memahami perasaan mereka.

Lantaran itu, saya sangat berterima kasih kepada rakan-rakan saya ini kerana apa yang mereka lontarkan itu adalah sangat releven. Saya akui bahawa perkara seumpama ini merupakan satu cabaran yang harus dihadapi oleh semua orang yang ingin berhijrah kepada kebaikan. Lambat laun kita harus juga menerima hakikat bahawa memang tidak ada jalan pintas untuk mencapai cita-cita murni ini. Inilah satu perjalanan hidup dalam kehidupan kita yang kita harus lalui dan tidak boleh abaikan (ignoring a problem, will not solve the problem). Kita perlu melalui dan mengalami sendiri perjalanan ini (undergo personally) dan tidak boleh mewakilkannya kepada orang lain. Kenapa? Kerana ini adalah kehidupan kita (This is our life) bukan kehidupan orang lain.

Sehubungan dengan itu, pada pendapat saya, terdapat dua perkara asas yang perlu kita fahami terlebih dahulu; Pertama, dunia ini diciptakan dengan hukum sebab dan akibat (Law of cause and effect). Kedua, perubahan merupakan satu proses. Ia bukan bersifat seperti mee segera yang terus jadi.

Sifat proses pula ialah, ia mempunyai beberapa input, yang harus dihubungkaitkan dengan beberapa aktiviti-aktiviti tambah-nilai, ke arah menghasilkan sesuatu yang telah dikenalpasti dan dihajatkan. Untuk membolehkan ini terjadi, perlu mengambil masa yang tertentu mengikut komplikasi dan skop proses tersebut. Ini sudah tentu memerlukan kesabaran, ketekunan, disiplin, dedikasi dan komitmen. Aktiviti-aktiviti tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dalam apa pun keadaan.

Hakikatnya, kita akan sentiasa menghadapi bermacam-macam keadaan dan situasi dalam kehidupan kita; samada yang kita suka mahupun tidak suka, manis mahupun pahit, gembira mahupun duka, sesuai mahupun tidak sesuai, dan sebagainya. Apapun situasi dan keadaan yang menjelma, kita harus harungi semuanya dan maju kehadapan. Sudah tentu ini memerlukan pengorbanan yang harus kita lakukan untuk diri kita sendiri secara jujur dan komited, demi kebahagiaan di masa depan. Tuhan tidak akan merubah nasib kita kalau kita tidak berusaha memperbaikinya. Kita harus lebih fokus untuk memperbaiki diri daripada sibuk memikirkan apa orang lain kata terhadap kita. Bukankah kita berniat untuk membawa diri ini berjaya? Jika niat kita betul, haruskah kita menunda usaha murni hanya kerana takut dikata orang?

Jika kita ingin membuat perubahan dalam diri kita, kita harus terlebih dahulu membuat keputusan untuk mengambil tindakan. Kita perlu mencari satu titik permulaan ; satu titik tolak.

Justeru BLP adalah salah satu daripada titik permulaan itu. Perlu saya tekankan juga disini bahawa BLP bukanlah satu standard kesimbangan. BLP adalah satu alat atau mekanisme yang digubal khusus untuk manusia sejagat tanpa mengira bangsa, agama mahupun darjat sosial atau intelektualiti. Lebih daripada itu, BLP merupakan pemangkin yang menyediakan formula mudah, praktikal dan berkesan utuk membantu seseorang mencari kesimbangan dalam kehidupannya. BLP memberikan penyelesaian (solutions) bukan permasalahan.

Oleh yang demikian, samada kita sudah sempurna atau pun tidak, sudah seimbang atau pun tidak, itu bukan ukuran. Kita perlu berusaha umpama ’sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain’ dan jika kita ’ sesat dihujung jalan, kita perlu balik kepangkal jalan’.

Bagi yang baru membaca blog ini, saya ingin menjelaskan bahawa, sebenarnya, maksud awal saya membina BLP adalah untuk kegunaan sendiri. Saya dapati kehidupan saya terlalu dinamik, pantas dan berwarna-warni hingga membawa saya terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran dan godaan hidup. Justeru, saya perlu berpegang kepada sesuatu wadah yang jelas, mudah, praktikal dan berkesan untuk memperbaiki dan memelihara diri daripada terperosok ke lembah masalah. Walaupun saya memang jauh daripada sempuna, tapi saya ada niat dan keinginan untuk menjadi manusia yang baik dan bermanfaat di alam maya ini. Bermula dengan inilah lahirnya BLP.

Apabila saya mula mengamalkan BLP saya dapat merasa dan melihat sendiri khasiatnya. Perubahan yang berlaku adalah bersifat organik dan bukan drastik. Saya bersyukur dan berterima kasih kerana kehidupan ini mendewasakan saya. Dlam masa yang sama, kehidupan juga merupakan satu pengembaraan (Journey). Setiap pengembaraan ada destinasi. Dalam menjalani pengembaraan tentunya kita melalui detik-detik pengalaman yang amat bernilai. Jatuh bangun adalah lumrah hidup. Apa yang penting ialah, kita tidak jemu-jemu untuk bangun semula.

Sebagai seorang perunding yang sering dipanggil untuk membuat program peningkatan kapasiti insan, organisasi dan komuniti, saya mempunyai banyak pengalaman secara langsung mahupun tidak langsung di dalam dan luar negara. Akhirnya saya gunakan semua ini sebagai input untuk diadun dalam membentuk BLP seperti yang ada sekarang.

Kini, saya membuat keputusan untuk berkongsi BLP dengan orang ramai (sesiapa sahaja yang ada minat dan keinginan) kerana saya tahu bukan sedikit orang diluar sana yang mempunyai dilema dalam mencari perubahan baik dalam kehidupan mereka. Dalam BLP terdapat kaedah DIY yang perlu dilakukan sendiri dan juga kaedah DIT yang harus dilakukan bersama-sama. Dengan mengamalkan BLP, sekurang-kurangnya kita tidak keseorangan dalam perjuangan memperbaiki diri.

Selamat maju jaya.

Tuesday, November 17, 2009

The Balance Living City will soon be born!


Let us join hands, mind and heart and strive towards making this Balance Living City a reality.

Friday, November 13, 2009

Alam Bersahabat Dengan Kita

Salam hormat.

Maaf kerana lambat memberikan maklumbalas terhadap komen saudara semua dalam blog ini. Kebelakangan ini, masa saya banyak tertumpu kepada beberapa aktiviti yang memerlukan tindakan segera yang harus saya ladeni mengikut tertib keutamaan. Salah satu syarikat saya sedang terlibat dengan Borneo International Trade Fair (BITF) di Kota Kinabalu Sabah bermula 13 November - 16 November 2009.

Terusterang saya akui, semenjak saya membuat keputusan untuk berusaha membina kehidupan yang seimbang serta berniat untuk untuk membawa BLP (Program Hidup Seimbang) kepada manusia sejagat, nampaknya alam ini (the universe) semakin mesra bersahabat dengan saya. Pelbagai pintu peluang memajukan diri (development opportunities) dibentangnya luas-luas. Menurut kajian saya setakat ini, saya hampir pasti bahawa sesiapa sahaja yang meniti di atas kehidupan yang seimbang akan mengalami keadaan seumpama ini. Saya hanya memerlukan bukti empirikal untuk mengesahkan penemuan ini.

Saya tidak tahu bagaimana pengalaman anda. Mungkin anda juga boleh kongsikan dalam blog ini untuk manfaat bersama. Tetapi dalam perjalanan hidup saya, peluang-peluang sedemikian selalunya datang melalui pelbagai cara dan banyak kali, dibalut dengan pelbagai macam cabaran dan ujian.Kata orang, bukan senang nak jadi senang!

Apa yang penting ialah, kita harus boleh mengenal isyarat yang diberikan oleh alam, menterjemahkannya dengan khawas, dan mengambil tindakan yang sesuai agar terus hidup dengan harmoni dengan arus system alam.

Sebaliknya, jika mahu, kita juga boleh melihat semua ujian dan cabaran ini melalui perspektif lain dan menganggapnya sebagai masalah yang menghambat atau menjejaskan pencapaian objektif hidup kita.

Tapi saya telah membuat keputusan muktamad pada diri saya, dan membuat pilihan secara ikhlas untuk ‘memandang-baik’ semua kejadian, cabaran dan ujian ini dengan yakin.

Saya bersyukur kerana pengalaman hidup yang saya lalui selama ini, telah mendewasakan saya agar tidak terlalu gopoh dan tidak terlebih yakin (over-confident) tatakala menghadapi sesuatu masalah mahupun peluang. Saya sudah merasa akibat daripada ketidaksabaran itu. Sebenarnya kita perlu sabar, bukan hanya diwaktu menghadapi kesusahan, kekalahan dan masalah. Kita juga perlu sabar dikala menghadapi kesenangan, kemenangan dan peluang.

Justeru itu, dalam situasi ini, saya mengagahkan diri untuk terus bertenang sambil bekerja keras dan kuat walau dalam apapun keadaan. Lebih-lebih lagi apabila melihat kepada senario yang ada sekarang, firasat saya merasakan, mungkin inilah titik-pusingan kehidupan (life-turning-point) yang saya nanti-nantikan selama ini, setelah bersusah-payah menanam dan memeliharanya (plant & nurture) dalam minda saya sekian lama. Peluang untuk maju kehadapan, bertali arus mengalir ke arah saya. Dalam pada saya mengharungi hari demi hari dengan penuh semangat dan keyakinan, saya merasakan bahalawa kali ini saya betul-betul dicabar oleh alam melalui keadaan-keadaan yang berbeza. Saya akui bahawa pada masa seperti beginilah, apa juga sedikit ilmu di dada dan di kepala, serta pengalaman yang pernah ditimba, amat berguna dan perlu diparktikkan.

Sama-samalah kita mendoakan, supaya kita semua yang menghadapi keadaan seperti ini agar terpelihara daripada bencana yang tidak sepatutnya dan berhasil dengan kebaikan. Ini kerana, dalam kehidupan ini, bukan sedikit kali saya terpedaya, hampir tewas dan pernah tewas dengan godaan yang bermacam ragam. Namun tuhan memang Maha mengasihani hambaNya.

Selain itu, mungkin juga kerana dahulu saya dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang menitikberatkan nilai murni (values), khususnya dikalangan datuk nenek yang sudah tiada lagi di alam dunia ini, sedikit sebanyak telah membentuk diri saya. Tetapi, entah bagaimanalah pula nasib anak, cucu dan generasi akan datang kita. Nilai-nilai yang pernah dipupuk oleh datuk nenek kita dulu telah banyak terhakis dek zaman. Kita yang bergelar ibubapa atau orang tua di zaman ini sudah tidak se’amaliah’ orang dulu. Kepimpinan melalui taulandan pun sukar dicari sekarang.

Dalam konteks ini, BLP benar-benar telah memainkan peranan dalam kehidupan saya untuk menghadapi situasi yang kalau boleh saya pinjam terus bahasa Inggeris, iaitu ‘exciting, thrilling, dynamic, teething and promising’ini! Semakin hari saya semakin sedar, rupa-rupanya dalam kesimbangan itulah kunci dan rahsia kejayaan. Kali ini, saya mengalami dan melihat sendiri bukti-bukti nyata dalam kehidupan ini yang dengan sendiri menjelaskan maksudnya. Seolah-olah alam ini menjerit dengan gembira dan menyatakan..."Dr Mile teruskan apa yang anda lakukan, memang dalam kesimbangan ada kejayaan". :-)

Saya ada kompilasi ‘success-stories’ peribadi, teman-teman serta orang lain. Saya akan kongsikan natijah daripada perkara ini dalam buku BLP kelak.

Selamat maju jaya.
Terima Kasih

p/s anty Jayn.
I really appreciate your initiatives in compiling the puisi. I want to make it known here that I will include some of your 'selected' puisi compilation in my Book and acknowledge your goodself there. I will communicate to u more in person regarding the technicallity on this. Thanx

Wednesday, November 4, 2009

Prebiu BLP 12.12.2009 : Siapa perlu hadir.. 2

Salam hormat,

Setelah saya menulis dan menghantar post dalam blog saya semalam, saya merasa lega kerana telah dapat meluahkan apa yang saya rasakan. Kemudian selang beberapa ketika selepas itu, sekali lagi saya memasuki blog ini dan membacanya semula. Kali ini saya lebihkan penumpuan dan coba membacanya bukan dengan ‘semangat’ semata-mata, tetapi membacanya dengan ‘mata minda’ dan bukan dengan ‘mata fizikal’.

Dengan penuh sedar saya bertanya diri sendiri, apakah tindakan saya ini satu tindakan orang yang seimbang? Lantaran itu, saya merujuk kepada amalan-amalan orang yang seimbang dalam BLP. Ini membuat saya tersenyum sendiri, kerana memang terdapat garispanduan jelas dalam BLP untuk situasi sebegini (terkandung dalam BLI). Kini saya telah mengalami sendiri ‘BLP in action’! Saya merasa bersyukur.

Dalam konteks ini sebagai contoh, BLI 3.2 & BLI 3.4 mengingatkan kita supaya sentiasa menggunakan akal fikir dan tidak terlalu terbawa-bawa dengan emosi dan perasaan dalam setiap tindak tanduk kita. Kerana jika kita terlalu menurut emosi dan terburu-buru, kelak buruk padahnya. Pepatah confuscious “ A little impatience, destroys great plans’! Persoalannya ialah, bagaimanakah kita tahu bahawa apa yang kita rasakan ini adalah datangnya daripada emosi dan perasaan yang keterlaluan atau sesuatu yang benar? Dalam konteks bersaing merebut peluang (opportunities), bagaimanakah kita hendak membezakan di antara ‘lambat’ (procrastination) atau ‘gopoh’ (hast & impulsive)? Teknik ini juga terkandung dalam BLP.

BLI2.1 dan BLI 2.2 pula mengingatkan kita untuk sentiasa menjaga perhubungan dan menghormati orang dengan kasih saying mengikut sesuatu konteks itu. Dalam blog saya yang terdahulu, saya pernah berfikir untuk memperkenalkan ‘simplicity’ dalam majlis kelolaan program BLP dan memanggil semua orang sama rata dengan panggilan kekeluargaan ‘one big family’ dan mengurangkan protokol. Mungkin juga kerana pernah terlintas dalam pemikiran saya bahawa adakalanya amalan protokol agak keterlaluan di Negara kita.

Namun dalam BLP 1.4 mengingatkan kita bahawa adat protokol merupakan peraturan sesuatu Negara yang harus dihormati. Jika seseorang itu mendapat sesuatu gelaran atau pangkat dan sebagainya, kita harus sebut dan panggil dia dengan gelaran yang selayaknya. Dengan itu, bermakna kita menghormati kedaulatan Negara. Kita tidak perlu menolak jika ada rezeki nak diberikan gelaran / pangkat dan kita tidak perlu terlalu bermegah dan sombong bila mendapat gelaran / pangkat. Kita harus belajar seimbang dan sentiasa bersyukur (BLI 5.1). Ini kerana, yang mulia di antara manusia ini ialah yang lebih elok budi pekertinya sesama insan dan kepada Penciptanya.

Selain itu, akibat daripada tindakan yang terlalu gopoh, acapkali kita akan terlajak kata. Dalam konteks zaman teknologi sekarang ini, bukan setakat terlajak kata, kita harus peka agar tidak sampai ‘terlajak hantar sms’ atau ‘terlajak kirim post’ dalam internet atau alat komunikasi berteknologi tinggi. Ini boleh memberikan kesan yang bukan sedikit, ibarat pepatah lama ‘ Terlajak perahu boleh ditarik balik, terlajak kata buruk padahnya’. Dalam konteks ini, kita perlu seimbang. Gunakan akal fikiran sebelum membuka mulut berkata-kata atau menekan pita menghantar pesanan di media komunikasi.

Setelah menimbang perkara di atas dan mengambil perkiraan pendapat serta pandangan rakan-rakan, saya telah membuat keputusan untuk mengekalkan membuat jemputan terbuka. Namun dengan pendekatan yang lebih ‘personalize dan human-touch’. Kita akan jemput kaum keluarga terdekat ;‘charity begins at home’ (BLP 1.2 dan BLP 3.3). Kita juga akan mengundang ‘rakan-rakan’ atau ‘jaringan-kerja’ yang datang daripada pelbagai peringkat status sosial, profession, bangsa dan agama (BLP 5.5). Mereka ini tergolong dikalangan orang yang ada hubungan awal sebelum ini. Saya juga tidak melupakan sekiranya ada dikalangan pembaca blog yang berminat untuk hadir. Anda boleh berhubung saya terus melalui emel di alamat : ismail.puncakmaya@gmail.com

Dalam konteks BLP, saya menganggap BLP ini seperti seorang bayi yang comel dan manja. Saya akan menjaga dan mengasuhnya seperti menatang minyak yang penuh secara alami dan harmoni serta mesra dengan alam semesta ini (in harmoni with nature). Biarlah saya bermula secara kecil-kecilan. Saya percaya Stephen Covey iaitu pelopor ‘The 7 Habits of Highly Effective People’ dan ramai lagi orang di dunia ini, juga bermula kecil-kecilan dan seimbang.

Selamat maju jaya
Terima Kasih


p/s ..Kepada Saudara ah madd, Terima kasih atas kata-kata manis saudara tentang Dr Smile . Tapi panggilan Dr Mile ini telah terlalu lama dan sudah melekat dengan saya khususnya dikalangan teman-teman dan sahabat handai. Saya juga ingin bersahabat dengan anda semua, jadi kita teruskan sajalah seperti biasa.

Dan untuk pengetahuan sdra ah madd, program BLP ini adalah program pembangunan modal insan. Ia bertujuan memajukan peserta menjadi individu yang menyayangi diri, keluarga dan Negara.Saya sudah mengendali beratus-ratus program dan kursus sebelum ini kepada pelbagai sektor awam dan swasta di dalam dan luar negeri. Saya juga telah membantu jabatan dan kementerian kerajaan dalam program meningkatkan kapasiti modal insan bagi kumpulan rakyat miskin, wanita, pelajar dan lain-lain. Kita sentiasa melaksanakan aktiviti mengikut undang-undang Negara dan peraturan pihak berkuasa tempatan.

Tuesday, November 3, 2009

Prebiu BLP 12.12.2009. Siapa harus hadir?

Salam hormat dan salam bahagia,

Saya bersyukur kerana hingga setakat ini, usaha saya memaskini buku BLP berjalan lancar. Saya amat berterima kasih kepada beberapa orang yang begitu setia menyokong dan sentiasa memberi peransang kepada saya untuk menghasilkan buku BLP ini, khususnya isteri saya Latipa, sdra Kudus, Puan Siti, sdra Jefry Chung, anty Jayn, sdra azhar, sdra Hj Sulaiman, puan Ezane dan juga terutama sekali kepada anda yang mengikuti dan berinteraksi dalam blog ini.

Malah saya semakin bertambah seronok dan bersemangat, kerana sambil saya menulis buku ini, saya mula merasa kesannya semakin meresap ke dalam diri saya. Tidak pernah dalam hidup saya sebelum ini, saya merasa betul-betul terlalu sibuk bekerja tetapi merasa seronok sebegini! Mungkin inilah yang pernah dikatakan oleh Lao Tze Confusius “ Find somthing you love doing, and you won’t have to work a single day in your life’! Syukurlah, dalam kesibukan yang teramat sangat ini, pemikiran, emosi, perasaan dan keadaan diri saya dalam keadaan stabil dan tenang.

Dalam masa yang sama, saya juga menghadapi pelbagai cabaran hidup, desakan kerja dan lain-lain. Namun, saya faham bahawa saya harus membuat keputusan dan membuat pilihan. Saya korbankan perkara lain dan memilih untuk mengusahakan kelahiran program & buku BLP di alam buana ini. Jika diibaratkan seorang ibu yang mengandung, status BLP sekarang seumpama menunggu hari sahaja lagi!

Menurut perhitungan calendar, dari hari ini, iaitu 3hb November 2009, hanya tinggal genap 40 hari sahaja lagi menuju 12hb Disember 2009 untuk saya membuat prebiu ulung BLP kepada dunia. Kalau hendak dikira, masa memang tidak mencukupi. Tetapi dalam kehidupan ini, saya sudah banyak kali mempelajari bahawa, ada kalanya, kita perlu bertindak terus dan tidak menunggu sesuatu itu hingga sempurna untuk mengambil tindakan ; ‘dont wait for the perfect situation’.

Kerana telah banyak kali saya menghadapi situasi yang mengecewakan kerana terlalu inginkan kesempurnaan. Akibatnya saya telah ‘overtaken by events’ atau pesaing, terlepas peluang keemasan ‘lost golden opportunities’. Akhirnya, apa yang saya hendak lakukan itu hanya tinggal dalam kepala atau komputer – malang sekali di ketika itu, saya hanya mampu bertongkat dagu melihat orang lain beraksi ‘Watch things happen’.

Kali ini saya tidak akan ulangi kesilapan itu lagi. Kali ini saya akan ‘Make things happen’! Justeru, saya nekad dan tetap beriltizam untuk menepati sasaran 12.12.09.
Selain dripada itu, semakin hari saya memperhalusi intipati dan isi kandungan buku BLP, semakin saya merasakan bahawa ia begitu bermanfaat buat diri saya dan keluarga saya. Bahkan, kerana konsep dan pendekatannya yang mudah, praktikal, universal dan efektif, ia boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja di dunia ini asalkan mereka mahu berubah ke arah kebaikan. Saya memang inginkan ia mudah, kerana saya percaya bahawa di dalam kemudahan ada kehebatan (In simplicity there is greatness). Hebat tanpa stress dan kongkongan. Hebat dalam keseronokan dan hiburan. Hebat dalam kesyukuran dan kedamaian. Bukan hebat dalam tekanan!

Hasil penulisan buku BLP ini juga, saya merasa semakin lega dan bebas serta tidak terkongkong dengan kebesaran pangkat, darjat atau status sosial diri atau orang lain. Bukan kerana hilang adab menghormati protokol, tetapi kembali kepada asas iaitu kejujuran pada diri sendiri dan kebesaran kepada Pencipta yang Maha Agung. Ini kerana walau bagaimana sekalipun, semua orang yang bergelar manusia akan pandai mati dan kembali kepada kampong asal mereka di akhirat. Diketika itu, amalan membina ‘kehidupan seimbang’ amat berpotensi untuk membantu membina kedamaian abadi.

Lantaran itu, saya merasa terpanggil untuk membuat jemputan terbuka kepada umum, iaiatu sesiapa sahaja yang ingin mengetahui ‘apakah itu BLP atau inisiatif membina kehidupan seimbang yang ingin diajak oleh Dr Mile dan rakan-rakannya’.

Oleh itu saya bercadang untuk menjemput masyarakat umum, para ibu-bapa, pemimpin-pemimpin masyarakat, para Yang Berhormat (YB) tanpa mengira parti politik, ketua-ketua jabatan dan pekerja dari pelbagai sektor awam dan swasta khususnya mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam program pendidkan, pembangunan modal insan atau latihan, golongan professional dan usahawan, pelajar sekolah menengah dan IPTA/IPTS, belia yang menganggur atau bekerja, dan sesiapa sahaja jua.

Jika anda mengikuti post saya sebelum ini, tentu anda boleh mengimbas kembali tamsila yangs aya buat mengenai ‘setitik air di tengah lautan yang akhirnya boleh menjadi ombak di pantai’. Kita perlu mengajak orang lain bersama-sama membina kehidupan seimbang demi manfaat diri kita masing-masing, kerana kita hanya sub-sistem kecil di dalam system yang besar atau setitik air yang diliputi lautan luas. Sebab itulah dalam buku saya, saya meminjam istilah DIY atau ‘Do it yourself’ dan meperkenalkan istilah DIT iaitu ‘Do it together’.

Sebelum saya mengambil langkah seterusnya, saya mohon apalah kiranya saudara yang membaca post ini memberikan komen ikhlas yang membina di blog ini atau melalui emel saya di alamat ismail.puncakmaya@gmail.com

Saya dengan penuh rasa hormat dan kemesraan mengucapkan terima kasih banyak-banyak di atas kerjasama anda.

Terima Kasih.

Friday, October 30, 2009

Prebiu Ulung BLP ( 12-12-2009 )

Salam Bahagia,

Apabila saya bercakap tentang BLP ataupun kefahaman dan pendekatan saya tentang kehidupan seimbang, samada semasa sesi program-program yang saya kendalikan mahupun ketika berinteraksi dengan rakan-rakan, saya dihujani dengan pelbagai pertanyaan. Setelah saya berikan penjelasan, walaupun ringkas, boleh dikatakan hampir kesemua mereka menunjukkan minat dan memberikan dorongan agar BLP disampaikan serta disebarluaskan kepada orang ramai. Saya bersyukur dan merasa lebih bersemangat lagi. Saya betul-betul rasa terpanggil untuk berusaha dan bekerja keras bagi merealisasikan dorongan ini.

Sebenarnya BLP adalah ringkasan kepada ‘Balance Living Program’. Ia merupakan satu program pembangunan kapasiti insan yang digubal khas untuk sesiapa sahaja yang ingin membentuk kehidupan seimbang. Ia bukanlah satu program keusahawanan, keagamaan atau politik. Sebaliknya BLP mengajak manusia kembali kepada asas (back to basic) dalam inisiatif mereka untuk mencapai matlamat dalam kehidupan masing-masing.

Pembelajaran dan intipati kandungan BLP bersumberkan hampir 50 tahun pengalaman hidup pengasasnya bermula dari zaman kanak-kanak, remaja, pelajar, berkeluarga, bermasyarakat, bekerja hinggalah sekarang. Selain itu, ia juga disulam dengan kajian, perbandingan serta rujukan daripada khazanah ilmu pengetahuan warisan zaman berzaman.

Oleh kerana BLP digubal khas untuk manusia sejagat, ia menerobos tembok sempadan bangsa, agama, keturunan, kerakyatan, gender, pangkat, darjat dan usia. (Buku BLP ditulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris).

Di antara perkara yang unik dan istimewa di dalam BLP ialah;

1) Program Membina Kehidupan Dan Bukan Hanya Penghidupan. (Make A Life NOT Just A Living)

2) Sepuluh (10) Siri Program Kuasa Meningkatkan Kapasiti Kendiri (The 10 Power Series Towards Personal Capacity Enhancement )

3) Program Indeks Kehidupan Seimbang dan Mekanisme Pengukuran Serta Pengawalan Yang Berkaitan Dengannya.

4) Siri Program Syirrutherapy : Kaedah Pengukuhan Kendiri (The Body Heals Itself).

5) Program NALIS : Sains Kemahiran Hidup Bukan Akademik di bawah Borneo Open International University (BOIU) USA.

6) Program Rangkaian & Alumni BLP (TUNAS, PEWARIS, CERMIN, JAYAWAN, WANITA & KHUSUS) dan

7) Beberapa Lagi Program Bersepadu BLP.

Atas permintaan ramai, satu penerangan ulung (preview) akan disampaikan sendiri oleh pengasas Program BLP. Ini dijangka diadakan pada 12.12.2009 (Sabtu) di Kota Kinabalu, Sabah. Butir-butir lanjut akan dimaklumkan kemudian. Sila ikuti perkembangan melalui Blog ini dari semasa ke semasa.

Prebiu tersebut akan dibuka kepada umum. Jika anda mendaftar sebagai pengikut blog ini (sebelum sesi prebiu tersebut) dan mengambil bahagian dalam sesi maklumbalas, anda akan diberikan keistimewaan sebagai Penyokong Awal BLP.

Selepas prebiu, kita akan adakan sesi khas untuk mereka yang berminat menjadi ‘Penyambung-Lidah BLP’ ataupun fasilitator BLP agar inisiatif ini dapat disebarluaskan di mana sahaja diperlukan. Ini terbuka untuk semua orang yang berumur 25 tahun ke atas tanpa mengira gender, bangsa, agama dan kewarganegaraan.

Bersama-sama kita membentuk kehidupan yang seimbang.
Selamat maju jaya.

Dr Mile
Pengasas BLP

Thursday, October 29, 2009

Program Team Synergy Building for Sabah Softwoods Berhad



Salam mesra, Sudah tiga hari saya tidak menyertai blog ini kerana berada di luar daerah. Sebenarnya saya baru balik dari mengendalikan program ‘Team-Synergy Building’ untuk Sabah Softwoods Berhad (SSB) yang diadakan di Brumas Country Side Lodge, Tawau, Sabah, milik SSB.

Seramai 28 orang perserta yang terdiri daripada staf SSB diperingkat Penolong Pengurus, Eksekutif dan Penyelia. Walaupun ada insiden semasa aktiviti outdoor, hujan turun dengan lebatnya - tidak mematahkan semangat peserta dan program berjalan lancar dari awal hingga selesai.

Berdasarkan maklumbalas bertulis dan juga lisan (yang diperolehi melalui interaksi berdepan secara langsung), para peserta mendapati program ini sesuai dan memenuhi objektif mereka yang tersudat dan ada juga yang tersirat. Saya rasa peserta kali ini lebih bertuah, kerana saya menyelitkan elemen BLP (Program Kehidupan Seimbang) secara tidak langsung.

Apa yang lebih menarik ialah sambutan, kerjasama, komitmen, dedikasi dan keikhlasan para peserta di sepanjang mengikuti program ini. Saya dan mereka sahaja yang tahu betapa seronoknya kami bersama-sama belajar dan bertukar-tukar ilmu dan pengalaman seperti dalam satu keluarga besar (One Big Family).

Saya bersyukur dan gembira dengan pengalaman bersama SSB.
Selamat Maju Jaya. SSB BOLEH!

Monday, October 26, 2009

Outstation 3 hari

Salam Muhibah, Hanya untuk makluman anda; hari ini (26 Nov) saya akan ke Tawau, untuk mengendalikan sesi 'Team-Synergy Building Camp for Executives of Sabah Softwoods Berhad' di 'Brumas Countryside Lodge'. Ini bukan program BLP tetapi memang aktiviti rutin saya bersama Krew IIEC. Saya akan balik ke KK pad hari khamis.

Sila teruskan menghantar post, komen atau sebarang jenis pandangan. Saya akan kembali dan memberikan maklumbalas selepas selesai sesi di sana.

Semoga kita semua sihat dan aman bahagia dalam kehidupan yang seimbang.

Sunday, October 25, 2009

Pengenalan BLP Post 5 (Akhir)

Kini saya sedar bahawa penyelesaian yang saya cari-cari selama ini sebenarnya ada dalam diri saya sendiri dan bukannya dari luar.

Saya tidak perlu menyalahkan sesiapa lagi kerana perbuatan itu hanya akan mengeruhkan serta menambah rumitkan lagi keadaan. Budaya tuduh menuduh sepeti dalam dendangan 'Bangau Oh Bangau' harus kita hentikan! Saya harus bermula dari diri saya sendiri dan saya harus bermula dari sekarang.

Apabila saya telah mendapat kesedaran diri dan mula ada kemahuan untuk hidup secara seimbang, barulah keadaan kehidupan saya mula reda dan beransur maju kehadapan. Semakin hari saya semakin bertambah optimistik dan dunia semakin melebar luas berbanding dengan dahulunya yang terasa sentiasa menghimpit.

Dalam masa yang sama, saya juga mula menyedari bahawa saya harus mengajak keluarga saya, teman saya, jiran saya, masyarakat saya. Saya harus melakukan ini tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Ini kerana, semakin ramai orang dalam lingkungan kehidupan saya yang menjalani hidup seimbang semakin baiklah untk saya dan juga orang lain.

Sebagai analogi, mari kita hayati tamsil ini ; Jika kita mulakan kehidupan seimbang, kita ibarat merenjis satu titis air di tengah lautan. Jika semakin ramai organg mengamalkannya, lebih banyaklah titisan dalam lautan tersebut. Semua titisan ini kelak akan bergabung menjadi riak-riak air. Lama kelamaan apabila gabungan riak-riak air kian membesar ia akan menghasilkan ombak. Ombak tersebut akan melahirkan ombak dan ombak dan ombak. Ini kerana, kita adalah sub-sistem di dalam sistem (alam) yang besar.

Oleh kerana usaha kecil ini bukan berbentuk satu perniagaan, bukan berbentuk program agama, bukan berbentuk program politik, kita tidak terburu-buru. Kita tidak terlalu gairah. Sebaliknya kita harus menyusun langkah dengan berhemah dan waspada dengan menggunakan akal fikir dan bertindak dengan hikmah bersama-sama rangkaian rakan-rakan yang boleh menerima mesej yang saya utarakan ini. Ini adalah usaha membina kehidupan yang seimbang secara alami (natural).

Usaha kecil ini merupakan inisiatif murni yang merupakan bibit kepada mengembalikan diri kita secara peribadi, keluarga kita dan kemudian masyarakat kita agar hidup lebih seimbang. Maka dengan itu lahirlah BLP!

Jika anda merasa terpanggil untuk bersama-sama dalam usaha kecil ini, silalah hubungi saya, sertai saya dan sebagai permulaan anda bolehlah mendaftarkan diri menjadi pengikut blog ini.

Selepas ini, bagi anda yang telah mengikuti sesi melalui blog saya, sekiranya anda masih berminat (dan tiada paksaaan sama sekali) anda akan saya ajak untuk berpindah ke lama web rasmi sebagai ’kumpulan pioneer’ secara berdaftar yang setelah itu berpeluang mengikuti program-prgram khusus BLP dengan lebih tersusun dan terancang.

Bagi yang berminat untuk pergi lebih jauh lagi, bolehlah mengasah bakat mereka, kerana saya juga mempunyai program khas untuk melatih dan membentuk krew penceramah dan fasilitator bertauliah untuk menyebarluaskan BLP di alam buana ini.

Selamat Maju Jaya di dalam kehidupan yang seimbangan.

Salam Muhibbah dan
Ikhlas dari saya,


Dr Ismail Idris Al’Banjari @ Dr Mile
Pengasas Program Hidup Seimbang BLP
25 oktober 2009

Sambungan Pengenalan BLP 4

Sehubungan dengan beberapa contoh yang saya sebut sebelum ini, saya tidak bermaksud membuat kritikan atas dasar salah atau benarnya. Jika kita tidak mendapat pertolongan orang lain ketika kita menghadapai kesusahan dan benar-benar memerlukan pertolongan itu, besar kemungkinan orang lain juga sedang menghadapi kesusahan dan bukannya mereka tidak mahu menolong. Kerana kebanyakan di antara orang sekarang termasuk saya sendiri adalah mangsa keadaan. Keadaan yang mendesak bahawa hanya yang kuat, berada dan cemerlang sahaja akan hidup manakala yang lemah dan kurang upaya harus akur dengan nasib mereka. Itulah hakikat undang-undang belantara yang berleluasa di bandaraya zaman ini!

Dalam konteks ini, saya perlu membuat penjelasan supaya tidak disalah ertikan. Saya bukannya anti-kecemerlangan atau kemajuan. Mungkin tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa saya juga adalah salah seorang daripada produk budaya kecemerlangan yang saya perkatakan itu. Sebagai contoh, jika diimbas kembali, bermula sejak di bangku sekolah saya pernah meraih Anugerah Pelajar Terbaik (Best Boy Prize) dan Ahli Sukan Terbaik (Best Athelete), di Universiti pula saya mendapat anugerah Pelajar Terbaik (Best Student) kerana mendapat pencapaian akademik Sarjana Muda Kelas Pertama dan merupakan satu-satunya pelajar di kursus saya yang meraih Anugerah Rektor kerana mendapat Anugerah Dekan di setiap semester. Kemudian semasa berkhidmat di dalam perkhidmatan Awam saya pernah mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang kerana menjadi Pekerja Cemerlang di organisasi tempat saya bekerja dengan mendapat markah ’melintang’ beberapa kali. Sebelum saya meninggalkan perkhidmatan awam, saya mendapat di anugerah Bintang Setia Kinabalu oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah.

Selain itu dari sudut kepimpinan pula, semasa sekolah saya pernah menjadi Pengawas @ Timbalan Ketua Pengawas, Ketua Rumah Sukan, Ahli Jawatankuasa beberapa kelab dan persatuan. Di kolej pula dilantik menjadi Presiden Pelajar Kursus. Di tempat kerja pula, saya merupakan Ketua Unit dan menjadi Wakil Pengurusan Kualiti Jabatan yang membawa organisasi saya mendapat pensijilan MS ISO 9000:1994 yang pertama di Negeri Sabah. Setelah itu, saya menceburkan diri ke dalam dunia korporat dan kini menjadi Pengarah Eksekutif dalam Syarikat yang menjalankan perniagaan minyak dan gas serta pembinaan dan perundingan.

Justeru kenyataan saya di awal tadi tidak bermakna saya anti-kecemerlangan. Kerana saya tahu, memang sudah menjadi naluri manusia inginkan kemajuan dan kejayaan. Bahkan di dalam tahap-tahap tertentu, suntikan budaya yang mendorong kita ke arah keunggulan ini akan menjadikan kita lebih bermotivasi dan rajin berusaha. Sebaliknya jika tiada dorongan sedemikian, akan melahirkan generasi pemalas. Jika ini berlaku, ia akan mempengaruhi masa depan diri sendiri, keluarga dan juga negara. Kita harus bangun, berdiri teguh ibarat batu karang yang tidak berganjak dihempas badai! Namun jika Tsunami yang datang, anda tentu tahu jawapannya.

Walau bagaimanapun, untuk melangkah maju kehadapan daripada titik sekarang, kita perlu menilai kembali kaedah dan pendekatan kita. Bak kata perpatah Inggeris ”If you use the same door, you will enter the same garden’ dan ’If you continue to do what you have been doing, you will continue to get what you have been getting’! Mari kita fikirkan hikmah kata-kata ini. Adakah cara lain? Tuhan tidak akan merubah nasib kita, kalau kita tidak mengubah nasib diri kita sendiri. Perubahan macam manakah yang kita mahu?

Dunia yang kita huni ini tidak kekurang manusia cemerlang dan tidak kekurangan manusia kuat, bijak, hebat dan unggul. Apa yang dunia kita kurang ialah manusia seimbang. Sebab itulah saya mengajak anda membuat satu inisiatif kecil. Kelak anda akan tahu, walaupun inisiatif ini kecil tetapi ia amat bermakna kepada kita semua. Apa yang perlu kita lakukan ialah memulakan inisiatif dengan membina kehidupan yang seimbang. Sesungguhnya di dalam keseimbangan itu ada kecemerlangan. Di dalam keseimbangan itu ada kehebatan (Simplicity is Great).

Kini persoalannya ialah, dimanakah tahap kesimbangan itu? Bolehkah ia diukur? Jika boleh, apakah ukurannya dan bagaimanakah caranya?

...bersambung 5

Sambungan BLP 3

Sebagai lanjutan daripada post 2, saya ingin memberi contoh, hari ini, dunia serta semua penghuninya, sedang menghadapi keadaan stress berlebihan akibat daripada pelbagai tekanan yang melanda. Terdapat banyak faktor yang membawa kepada berlakunya fenomena ini, tetapi hakikatnya kegawatan stress yang kita hadapai ini adalah akibat perbuatan tangan manusia sendiri.

Ini juga mungkin disebabkan manusia telah terbawa-bawa dengan pemahaman bahawa ’keinginan manusia adalah tidak terhad’(Unlimited wants), dan ’matlamat menghalakan cara’(the end justify the means), hingga kebanyakan kita tenggelam dalam arus perlombaan memburu kehebatan, kekayaan, kesempurnaan, kecemerlangan dan keunggulan. Bahkan sikap ini telah dimasyarakatkan dan dianggap keperluan sejagat yang harus dibudayakan. Apabila ini sudah menjadi budaya, tanpa sedari, secara tabie atau otomatik, ia telah mengundang tekanan stress yang berlebihan hingga ada kalanya mengakibatkan keruntuhan nilai murni, kemerosotan harga diri bahkan kehilangan nyawa.

Walau bagaimana pun, saya tidak heran dengan fenomena ini, kerana suntikan untuk menjadi yang paling cemerlang dalam semua bidang seperti pelajar cemerlang, pekerja cemerlang, ibubapa cemerlang, pasangan cemerlang, institusi cemerlang, kampung cemerlang, bangsa cemerlang dan bermacam-macam lagi telah menjadi budaya manusia sejak zaman datuk nenek kita lagi (since the begin of mankind).

Sejarah juga telah memamarkan bahawa dalam memburu matlamat dan cita-cita, manusia sanggup berbuat apa sahaja. Banyak kali dalam sejarah, bangsa yang bergelar manusia yang bangga dengan tamadunnya itu tanpa segan silu kembali mengamalkan undang-undang belantara (Law of the jungle). Bahkan dizaman ini adakalanya keadaan timbul hingga manusia perlu bersaing untuk hidup maka mahu tidak mahu, undang-undang kehidupan (Law of Survival) terpaksa digunakan!

Lantaran itu nilai-nilai murni seperti semangat bantu-membantu tanpa ganjaran sudah semakin susah didapati. Seolah-oleh generasi kini membesar dengan slogan ’nothing is free’. Jika anda mengalami kerosakan kenderaan di tepi jalan, samada dimasa yang tidak disangka-sangka ataupun ketika musim tengkujuh atau banjir atau seumpamanya, agak tipis harapan untuk dapat bantuan sukarela daripada orang ramai. Pastinya anda terpaksa menghubungi syarikat pembaik kereta rasmi. Kalau pun ada yang tak rasmi, mungkin boleh dapat khidmat ’freelance’ tetapi harus dibayar juga. Bukan sedikit kita mengalami atau setidak-tidaknya mendengar peristiwa sumpama ini berlaku.

Satu lagi contoh yang merunsingkan ialah dalam kejadian ketika seseorang menghadapi kesusahan misalnya kes ragut atau ’bully’. Walaupun peristiwa itu terjadi di siang hari dan di hadapan khayalak ramai, kemungkinan untuk mendapat bantuan daripda orang ramai amat sukar sekali kecuali daripada pihak polis. Saya tidak pasti samada masyarakat kita zaman ini terlalu bersikap mementingkan diri sendiri, atau barangkali tidak berani membatu kerana sudah luput dihati kita sikap wira kerana takut menanggung resiko sendiri-sendiri apabila dilabel dan dibelasah gangster yang membalas dendam sekirannya mereka membantu atau pun memang masyarakat kita kini pengecut sebab tidak tahu ilmu bela diri dan tidak ada keyakinan diriatau lain-lain lagi kemungkinan. Apa yang pasti ialah kita harus menerima hakikat bahawa kita hidup dalam masyarakat bergelar ’nafsi-nafsi’ ataupun 'its every man for himself'. Apabila kita mengelami kesusahan, tidak ada sesiapa yang dengan senang hati sudi membantu kita sepertimana yang kita harap-harapkan. Walaupun kita menangis dan mengemis pertolongan itu, peluang untuk mendapatnya adalah amat tipis.

Bagi kita yang menjangkau usia 40an, khususnya yang pernah tinggal di desa atau pekan kecil, mungkin pernah menikmati azimat ’gotong-royong. Sebagai contoth, dizaman kanak-kanak saya dahulu, apabila ada acara kenduri kawin, sanak keluarga dan masyarakat setempat akan berbondong-bondong datang dengan semangat kekeluargaan dan kejiranan. Masing-masing membawa keperluan seperti seperti pisau, parang ataupun sedikit gula, beras, serbuk kopi dan lain-lain lagi untuk disumbangkan bagi acara tersebut. Suasana kekeluargaan begitu terasa dan bergembira. Sementara kaum dewasa sibuk bekerja, kami kanak-kanak dapat bergaul mesra dan bermain bersama kana-kanak lain yang datang dengan keluarga mereka. Di Ketika itu, hidup harmoni memang bertu-betul terasa dan amat saya rindukan. Munngkinkah akan kembali lagi semangat gotong-royong yang pernah oragng tua-tua kita semai dulu? Ataukah ia juga sudah pupus seperti dinasor yang pupus ditelan zaman?

Kini suasana sudah berbeza. Kebanyakan orang akan lebih cenderung menggunakan khidmat katering. Bahkan ada trend perlombaan dan menjadi semacam satu nilai status untuk mengadakan kenduri majlis seumpama itu di hotel-hotel mewah. Lagi tinggi taraf bintang hotel itu, lagi berprestijlah keluarga itu atau perasaan mereka dimata masyarakat. Walaupun sesetengahnya terpaksa menanggung hutang yang bukan sedikit semata-mata untuk mengikuti trend budaya masa kini.

Akibatnya bumi hijau tempat kita berteduh yang indah ini menjadi huru hara. Tidakkah ini meriasukan? Bagaimanakah keadaannya generasi anak cucu kita di masa depan?

Bersambung ....4

Sambungan Pengenalan BLP ...2

Pada mulanya, inisiatif ini lahir dalam pencarian saya untuk mendapatkan penyelesaian kepada bermacam-macam masalah yang saya hadapi dalam kehidupan yang penuh mencabar ini. Saya sering buntu, resah-gelisah, kecewa dan terpaksa menanggung akibat daripada masalah-masalah yang saya hadapi yang berkisar daripada masalah peribadi dan konflik kendiri, masalah keluarga, masalah kewangan yang tidak pernah cukup, masalah kerjaya dan perniagaan dan bermacam-macam lagi. Bilalah agaknya masalah ini akan berakhir? Saya sudah sangat letih dan longlai dengan keadaan susah yang tak habis-habis ini.

Bukan saya tidak berusaha memperbaiki keadaan. Bermacam-macam cara pendekatan telah saya usahakan; membaca buku, menghadiri kursus, meminta nasihat agama dan nasihat profesional, berdoa dan bermacam-macam lagi. Memang ada juga keberhasilan, tetapi ianya tidak dapat bertahan lama dan seringkali saya kembali ke garisan awal – balik asal! Kenapakah ini berlaku?

Melalui pembacaan dan pencarian, lama kelamaan saya mula menyedari, rupa-rupanya kebanyakan permasalahan yang saya hadapi ada kaitan rapat dengan gaya hidup yang saya lalui sebagai penghuni di bumi ini. Ada kemungkinan besar, gaya hidup saya sendiri yang mengundang pelbagai cabaran. Gaya hidup yang hanya saya dan orang yang hampir dengan saya sahaja yang mengetahuinya.

Rupa-rupanya gaya hidup saya ini berpunca daripada sikap saya sendiri yang terbit dan dipengaruhi oleh persepsi saya kepada apa yang saya fikirkan. Bagaimana persepi saya tentang sesuatu peristiwa itu telah mempengaruhi perasaan saya semasa berinteraksi dengan orang lain atau dalam menghadapi sesuatu keadaan. Apa juga perasaan yang saya alami itu (misalnya samada suka atau tidak suka) akan membuat saya melakukan tindak-balas yang saya rasakan sesuai pda ketika itu. Berikutan dengan itu, kualiti tindak-balas yang saya lakukan pada ketika itu, akan mempengarusi tindak-balas org lain pula kepada saya! Ini pastinya juga mempengaruhi kualiti keadaan saya dalam konteks tadi.

Melalui kesedaran ini, saya mula mengenali bahawa punca sebenar masalah adalah daripada minda dan cara pemikiran saya sendiri. Ini membuatkan saya sudah semakin bersemangat kerana sudah agak pasti bahawa saya telah menemui 'dalang' kepada permasalahan yang saya hadapi selama ini – iaitu cara berfikir. Bak kata pujangga: ”Anda adalah apa yang anda fikirkan”. Apabila saya menemui jawapan tersebut, saya sudah hampir pasti inilah penyelesaian. Saya mula belajar pelbagai teknik penggunaan minda. Memang saya akui, daripada titik inilah bibit penemuan mencari jalan penyelesaian bermula. Namun, saya gagal mengatasi masalah yang saya hadapi. Kebanyakan kaedah yang saya temui lebih bersifat teori, retorik mahupun terlalu falsafah. Atau saya sendiri yang bebal dan bingung? Hakikatnya saya masih menemui jalan buntu!

Belumpun reda keadaan ini, saya dihambat lagi dengan satu penemuan yang agak drastik. Bahkan saya pernah hampir-hampir putus asa apabila menyedari bahawa masalah yang saya sedang hadapai ini terbit daripada arus gelombang sejagat! Ini kerana saya berada dalam salah satu sub-sistem di dalam sitem global yang menyelubungi bumi tercinta ini; seperti sistem ekonomi, sistem pendidikan, sistem sosial, sistem politik dan lain lain lagi.

Secara realiti dan dengan ringkasnya, sistem pendidkan yang saya lalui telah mempengaruhi cara saya berfikir dan bertindak, sistem ekonomi dimana saya berkerjaya telah mempengaruhi cara saya berkerjaya dan mencari harta, sistem sosial dimana saya berinteraksi telah mempengaruhi cara saya bergaul dan hidup dalam masyarakat, sistem politik yangs aya perjaungkan pula telah mempengaruhi cara saya melihat dan memperjuangkan hak bangsa sendiri dan mempertahankan hak tersebut daripada orang lain dan seterusnya. Apa yang menarik tapi menyedihkan ialah, boleh dikatakan kebanyakan sistem-sistem ini telah menjadikan saya seorang manusia yang mementingkan diri sendiri, mengejar kebendaaan dan sentiasa dahagakan sanjungan manusia, bahkan mungkin tidak keterlaluan jika disebuat banyak berunsurkan hipokrit dan superfisial.

Bila saya sedar bahawa saya sedang berada di dalam lautan yang mengandungi sistem-sistem sebegini dan terpaksa hidup didalamnya bersama manusia-manusia yang juga memperjuangkan sistem-sistem tersebut dan saya sendiri sedang bergelumangan dengan program, aktiviti serta proses-proses secrta biudaya yang mendokong sistem-sistem tersebut, saya merasakan saya sudah ibarat lemas dalam 'lautan masalah' dan ibarat hanya mapu terhoyong hayang dipukul ombak.

Soalnya bolehkah saya berubah dalam keadaan ini sedangkan saya ibarat setitis air dalam lautan lepas yang sangat luas! Mampukah saya menghadapi Tsunami ini? Ahh mana mungkin. Saya semakin keliru dan hampir sahaja mahu putus asa. Pemikiran-pemikiran hampa dan menyelubungi diri saya dan membawa saya mengambil jalan pintas dengan hanya ’Lebih baik pasrah dan bertawakal saja’.

bersambung ...3

Saturday, October 24, 2009

Kata-Kata Aluan

Terima kasih kerana telah memilih untuk bersama-sama saya dalam satu inisiatif kecil ini. Saya bukan mengajak anda untuk mengikuti program perniagan ataupun program keagamaan mahupun politik. Semua itu telah banyak diperkatakan dan banyak dipasaran yang anda boleh dapatkan dengan mudah. Mungkin anda sudah lebih mahir dan lebih berpengalaman di dalamnya.

Sebaliknya, saya ingin mengajak anda kepada sesuatu yang seringkali dianggap enteng oleh manusia. Sesuatu yang terlau mudah diperkatakan dan seringkali dijadikan kesimpulan dalam pelbagai forum bila membincangkan permasalahan kehidupan manusia dalam dunia. Namun belum pernah saya berpeluang mengikuti program yang benar-benar membimbing khusus membawa ke arah merealisasikannya iaitu - Hidup Seimbang.

Kebanyakan program dizaman ini, lebih menekan kepada bagaimana menjadi manusia cemerlang, hebat dan unggul, Jika pun ada yang membawa untuk mencari kesimbangan ianya dibuat samada dalam konteks agama masing-masing ataupun sebagai tajuk sampingan yang hingga ke penghujungnya tidak juga dikupas atau diusahakan secara khusus. Akhirnya peserta hampa dan merasa tidak kesampaian.

Dalam inisiatif ini, saya secara terbuka, ingin membawa anda dan sesiapa sahaja yang ada kemahuan untuk berubah, tanpa sebarang bentuk paksaan, dalam satu pengembaraan untuk membina kehihidupan seimbang. Saya akan kongsikan beberapa mekanisma serta teknik-teknik universal yang khusus, mudah, praktikal, universal dan berkesan yang sesuai untuk semua manusia tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan keturunan. Ini kerana saya yakin, dalam kesimbangan itu ada kesihatan, ada keceriaan, ada kemakmuran dan ada ketenangan jiwa dan raga. Bukankah itu yang kita ’bangsa manusia’ inginkan? Bukankah itu juga yang anda idam-idamkan?

Samada kita sedar atau tidak, kesemua ciri-ciri tersebut telah semakin hari semakin terhakis daripada kehidupan kita dan seluruh manusia. Hakikat ini berlaku secara global dan semakin berterusan dan berleluasa. Lihat sahaja paparan dalam laman web dan kebanyakan media masa - anda akan lihat jawapannya. Jika kita ingin bukti yang lebih jelas lagi, kenyataan yang lebih dekat dan hampir lagi, kita lihat sahajalah pada diri kita sendiri serta persekitaran ditempat kita membesar dan menjalani kehidupan. Kenyataan saya dalam hal ini memang tidak asing.

Sebab itulah saya percaya, apabila kita hidup seimbang, diri kita akan sihat, ceria dan tenang dan kesemua kualiti tersebut dengan sendirinya dan secara alami akan menghasilkan buah-buah kemakmuran dan kebahagiaan. Ini adalah undang-undang alami. Satu prinsip Sunnatullah yang kita seringkali di nafikan manusia.

Welcome to The House of Balance Living

Greetings and Welcome
To The House of Balance Living