Sunday, October 25, 2009

Sambungan Pengenalan BLP 4

Sehubungan dengan beberapa contoh yang saya sebut sebelum ini, saya tidak bermaksud membuat kritikan atas dasar salah atau benarnya. Jika kita tidak mendapat pertolongan orang lain ketika kita menghadapai kesusahan dan benar-benar memerlukan pertolongan itu, besar kemungkinan orang lain juga sedang menghadapi kesusahan dan bukannya mereka tidak mahu menolong. Kerana kebanyakan di antara orang sekarang termasuk saya sendiri adalah mangsa keadaan. Keadaan yang mendesak bahawa hanya yang kuat, berada dan cemerlang sahaja akan hidup manakala yang lemah dan kurang upaya harus akur dengan nasib mereka. Itulah hakikat undang-undang belantara yang berleluasa di bandaraya zaman ini!

Dalam konteks ini, saya perlu membuat penjelasan supaya tidak disalah ertikan. Saya bukannya anti-kecemerlangan atau kemajuan. Mungkin tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa saya juga adalah salah seorang daripada produk budaya kecemerlangan yang saya perkatakan itu. Sebagai contoh, jika diimbas kembali, bermula sejak di bangku sekolah saya pernah meraih Anugerah Pelajar Terbaik (Best Boy Prize) dan Ahli Sukan Terbaik (Best Athelete), di Universiti pula saya mendapat anugerah Pelajar Terbaik (Best Student) kerana mendapat pencapaian akademik Sarjana Muda Kelas Pertama dan merupakan satu-satunya pelajar di kursus saya yang meraih Anugerah Rektor kerana mendapat Anugerah Dekan di setiap semester. Kemudian semasa berkhidmat di dalam perkhidmatan Awam saya pernah mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang kerana menjadi Pekerja Cemerlang di organisasi tempat saya bekerja dengan mendapat markah ’melintang’ beberapa kali. Sebelum saya meninggalkan perkhidmatan awam, saya mendapat di anugerah Bintang Setia Kinabalu oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah.

Selain itu dari sudut kepimpinan pula, semasa sekolah saya pernah menjadi Pengawas @ Timbalan Ketua Pengawas, Ketua Rumah Sukan, Ahli Jawatankuasa beberapa kelab dan persatuan. Di kolej pula dilantik menjadi Presiden Pelajar Kursus. Di tempat kerja pula, saya merupakan Ketua Unit dan menjadi Wakil Pengurusan Kualiti Jabatan yang membawa organisasi saya mendapat pensijilan MS ISO 9000:1994 yang pertama di Negeri Sabah. Setelah itu, saya menceburkan diri ke dalam dunia korporat dan kini menjadi Pengarah Eksekutif dalam Syarikat yang menjalankan perniagaan minyak dan gas serta pembinaan dan perundingan.

Justeru kenyataan saya di awal tadi tidak bermakna saya anti-kecemerlangan. Kerana saya tahu, memang sudah menjadi naluri manusia inginkan kemajuan dan kejayaan. Bahkan di dalam tahap-tahap tertentu, suntikan budaya yang mendorong kita ke arah keunggulan ini akan menjadikan kita lebih bermotivasi dan rajin berusaha. Sebaliknya jika tiada dorongan sedemikian, akan melahirkan generasi pemalas. Jika ini berlaku, ia akan mempengaruhi masa depan diri sendiri, keluarga dan juga negara. Kita harus bangun, berdiri teguh ibarat batu karang yang tidak berganjak dihempas badai! Namun jika Tsunami yang datang, anda tentu tahu jawapannya.

Walau bagaimanapun, untuk melangkah maju kehadapan daripada titik sekarang, kita perlu menilai kembali kaedah dan pendekatan kita. Bak kata perpatah Inggeris ”If you use the same door, you will enter the same garden’ dan ’If you continue to do what you have been doing, you will continue to get what you have been getting’! Mari kita fikirkan hikmah kata-kata ini. Adakah cara lain? Tuhan tidak akan merubah nasib kita, kalau kita tidak mengubah nasib diri kita sendiri. Perubahan macam manakah yang kita mahu?

Dunia yang kita huni ini tidak kekurang manusia cemerlang dan tidak kekurangan manusia kuat, bijak, hebat dan unggul. Apa yang dunia kita kurang ialah manusia seimbang. Sebab itulah saya mengajak anda membuat satu inisiatif kecil. Kelak anda akan tahu, walaupun inisiatif ini kecil tetapi ia amat bermakna kepada kita semua. Apa yang perlu kita lakukan ialah memulakan inisiatif dengan membina kehidupan yang seimbang. Sesungguhnya di dalam keseimbangan itu ada kecemerlangan. Di dalam keseimbangan itu ada kehebatan (Simplicity is Great).

Kini persoalannya ialah, dimanakah tahap kesimbangan itu? Bolehkah ia diukur? Jika boleh, apakah ukurannya dan bagaimanakah caranya?

...bersambung 5

No comments: