Wednesday, December 23, 2009

Membuat keputusan & Takdir

Terima Kasih saudara ah madd dan anonymous. Komen anda dalam Post saya yang lalu berjodol 'Membuat keputusan' membawa perhatian kita kepada sesuatu yang seringkali terjadi dalam kehidupan manusia, iaitu takdir - ataupun suatu ketentuan ilahi yang hanya tuhan sahaja yang maha mengetahui tentangnya. Takdir datangnya keapada kita dalam berbagai bentuk, samada yang menggembirakan mahupun yang mendukacitakan.

Meskipun demikian, adalah lumrah bagi manusia untuk mengaitkan takdir dengan perkara yang tidak diingini berlaku. Dalam konteks ini, selalunya takdir dikaitkan dengan sesuatu yang bukan pilihan yang harus terpaksa diterima dengan pasrah. Dengan itu, persoalan takdir menjadi sesuatu yang mungkin mudah diperkatakan tapi pada hakikatnya sukar diterima, lebih-lebih lagi kepada orang yang baru sahaja menghadapinya. Mungkin sebab itulah timbulnya pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’.

Malah ada kelompok manusia yang mengambil jalan mudah dengan memberikan jawapan ringkas kepada sesuatu kejadian dalam hidup mereka, lebih-lebih lagi yang mereka tidak suka, sebagai takdir. Dalam keadaan itu, perkataan takdir menjadi azimat besar khususnya bagi memujuk / merawat hati mereka lantaran kejadian yang tidak mereka ingini. Ada juga segelintir yang menggunakan istilah takdir sebagai alasan untuk menjadi malas. Apapun, terpulanglah kepada perspektif mana kita melihatnya dalam mengaitkannya dengan kehidupan masing-masing.

Dalam konteks BLP saya melihat takdir dari perspektif kehidupan dan juga fasa kejadian sesuatu yang kita anggap sebagai takdir itu - iaitu sebelum kejadian, semasa kejadian dan selepas kejadian.

Sebagai seorang yang praktikal dalam menjalani kehidupan, saya ingin memberi tumpuan kepada ‘The How’ iaitu bagaimana kita menghadapi situasi ketika berlakunya sesuatu yang kita anggap sebagai takdir dalam kehidupan kita. Ini bermakna ketika (semasa) dan juga selepas berlakunya kejadian tersebut sesuai dengan komentar saudara ‘anonymous’. (Penerangan terperinci mengenai kenapa dan punca berlakunya kejadian tersebut (The Why) serta teknik-teknik khusus menghadapinya, saudara boleh dapati dalam buku saya yang akan diterbitkan tidak lama lagi).

Bagaimana seseorang menghadapi situasi tersebut dan apa juga keputusan yang dibuatnya pada ketika dan selepas ia berlaku akan mempengaruhi kualiti kehidupan dirinya pada ketika itu dan lebih-lebih lagi dimasa hadapan.

Berikut saya gariskan beberapa tips untuk memperingatkan diri saya sendiri dan sebagai tambahan peringatan kepada pembaca. Barangkali perkara-perkara yang saya gariskan dibawah ini sedikit sebanyak boleh membantu kita dalam membuat keputusan ketika menghadapi sesuatu kejadian mahupun sesuatu yang adakalanya dianggap takdir;

#1. Menerima hakikat kejadian sambil ‘berbaik sangka dengan alam’ bahawa perkara itu telah berlaku dan pasti ada hikmah disebaliknya. Bagi orang yang kuat imannya, mereka akan terus sembahyang dan mengadu dengan tuhan mereka.

#2. Melepaskan perasaan kecewa kita sebagai insan yang bernama manusia yang mempunyai naluri emosi -misalnya menangislah jika perlu, cuma jangan menangis terlalu lama hingga hilang pertimbangan dan lalai daripada membuat tindakan. ‘Quickly Bounced-back’!

#3. Dalam pada itu, sedapat mungkin kawal emosi dengan fikiran jika mampu supaya tindakan melepaskan perasaan itu tidak keterlaluan hingga boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan diri dan orang lain. (mislanya bertindak agresif, memandu laju, mabuk dan sebagainya)

#4. Mencari seseorang sahabat tempat mengadu. Namun pastikan orang itu adalah pilihan yang sesuai, jika tidak, boleh mengundang masalah lain yang akan lebih mengaibkan diri sendiri atau orang yang ada kaitan dengan kejadian yang dialami. Dalam hal ini, elakkan daripada membebel-bebel dan membuka pekong didada kerana ramai orang terseliuh bukan kerana kakinya tetapi kerana lidahnya.

#5. Mengawal diri daripada melayan persoalan ‘sepatutnya’. Ini kerana perkara itu telahpun berlaku dan melayan persoalan ‘ini tidak sepatutnya berlaku kepada saya’ tidak akan menyelesaikan apa-apa dan hanya akan menambahkan stress yang bakal mengundang trajedi lebih besar.

#6. Mengambil tindakan untuk membuat pembetulan (Corrective) dan pencegahan (Preventive) yang sewajarnya mengikut kompleksiti dan kejadian yang berlaku. Pastikan tindakan-tindakan tersebut adalah berkesan.

#7. Membuat tindakan susulan (follow through) sampai kepenghujung untuk mencapai objektif tindakan pembetulan dan pencegahan tadi.

#8. Sentiasa berdoa dan berperasangka baik dengan alam.

Terima kasih saudara Ah Madd dan Anonymous di atas peringatan yang diberikan. Jika saudara pembaca mempunyai 'tips' lain yang boleh dikongsikan bersama, amatlah saya alu-alukan. Kita sama-sama belajar dalam pengembaraan mengharungi kehidupan yang indah ini.

Sehubungan dengan itu, persoalan ini juga membuat saya terfikir tentang kata orang tua-tua dahulu..”Ikutkan hati - mati, ikutkan rasa – binasa”. Jadi kita nak ikutkan apa .....?

Salam Tahun Baru

Kenangan di China Disember 2009


Maafkan saya kerana lambat memberi maklumbalas terhadap komen dalam blog ini. Saya baru kembali daripada lawatan kerja di Guangzhou, Shenzen dan Shanghai China.

Friday, December 4, 2009

Membuat Keputusan

Terima Kasih saudara Ah Madd di atas komen anda yang lalu iaitu .. “Begitulah adat sebagai manusia..kita merancang-rancang untuk mendapatkan hasil terbaik, tapi Allah SWT yang menentukan jadi atau tidak. Saya harap preview yang akan datang diadakan dengan meriah kerana lebih bersedia.” .. komen saudara ini memberikan cetusan ilham kepada saya dipagi yang indah ini  Terima kasih juga atas doa saudara. Semoga niat dan tujuan kita tercapai juga akhirnya.

Selain daripada perancangan, setiap seorang daripada kita, telah diperkasakan (empowered) oleh Tuhan untuk membuat keputusan, khasnya dalam menentukan pilihan. Coba kita imbas kembali kehidupan seharian kita selama ini,... disetiap ketika dan keadaan, samada kita sedari atau tidak, kita akan sentiasa berhadapan dengan keperluan untuk membuat keputusan. Tidak kira samada ia berkaitan dengan perkara yang kecil mahupun besar.

Daripada memilih pakaian untuk dipakai, - makanan atau minuman untuk sarapan, - marah atau tidak ketika jalan raya sesak, - senyum, selamba atau muram ketika berhadapan dengan orang lain dalam situasi yang berbeza, - hinggalah ke hal ehwal memilih pasangan hidup, merancang keluarga, kerjaya masa depan dan berbagai-bagai lagi situasi dan kondisi. Pilihan harus dibuat.

Sebenarnya selagi kita mempunyai pilihan untuk membuat keputusan, itu adalah rahmat yang harus kita syukuri. Kerana terdapat sebilangan manusia di muka bumi ini yang tidak banyak pilihan untuk di ambil lantaran keadaan kehidupan mereka.

Apa pun keputusan yang kita buat dalam kehidupan ini akan mempengaruhi masa depan kita. Bagaimana keadaan dan dimana kedudukan kita sekarang adalah akibat daripada keputusan kita kelmarin - dan dimana kedudukan dan keadaan kita esok akan ditentukan oleh keputusan kita hari ini.

Apa yang penting ialah kita harus bertanggung jawab di atas apa juga keputusan yang kita buat. Kita tidak seharusnya mempersalahkan orang lain jika sesuatu yang tidak diingini terjadi akibat daripada keputusan kita itu. Kerana kita sendiri yang telah membuat keputusan - atau ‘kumpulan kita secara kolektif’ mengikut sistem yang telah kita terima sebagai norma kehidupan. Tidak kira samada ianya dibuat secara D.I.Y (Do it Yourself) dan D.I.T (Do it together) semuanya harus bertanggungjawab akibat daripada pilihan yang dibuat.

Tuhan telah memberikan kita akal dan fikir. Dia telah memberikan kita kuasa untuk membuat pilihan bagi menentukan nasib kehidupan kita. Sebab itulah kita harus menuntut ilmu dan memiliki pengetahuan yang bermanfaat untuk digunakan bagi membuat keputusan berpandukan seni dan sainsnya (Art and science of decision making), dalam perjalanan hidup ini. Dengan adanya penghayatan dalam ilmu pengetahuan akan membantu kita agar mengikut fikiran dan bukan hanya emosi ketika membuat keputusan. Saya akui ini bukannya mudah, dan tidak ada jalan pintas, melainkan harus dialui sendiri dalam perjalanan hidup masing-masing.

Dalam konteks BLP, memang ada beberapa teknik dalam membuat keputusan (ini akan kita bicarakan lebih lanjut dalam kesempatan lain). BLP menganjurkan agar kita sentiasa peka dengan aliran alam (Flow of nature). Ada perkara yang tidak perlu di paksa kerana ia akan mengambil bentuknya sendiri bila tiba masanya. Ada juga perkara yang jika kita lambat, walau seketika, kita akan kehilangan peluang keemasan yang amat bernilai. Sebab itulah BLP menilai sesuatu dari sudut seni dan sainsnya (art and science). Ini kerana, adalah lumrah untuk meletakkan keutamaan (priorities) berasaskan banyak ‘variables’ seperti niat, objektif, masa, keperluan, implikasi kepada orang lain yang terlibat, ‘magnitude’ isu, mahupun peluang dan sebagainya. Oleh kerana itu, kos melepas akan pasti berlaku. Walau bagaimanapun, Keputusan harus di buat - Tanggungjawapan harus dipikul - Perjalanan harus diteruskan.

Coba kita renungkan, adakah keadaan kita sekarang ini akibat daripada keputusan yang kita ambil sebelum ini secara pilihan ‘by choice’ ataupun kita sebenarnya terpaksa menerimanya sahaja terpaksarela kerana tiada pilihan ‘by-chance’? Apa pun jawapan kita, hakikatnya kita telah membuat suatu keputusan. Tidak membuat keputusan juga sebenarnya adalah satu keputusan. Kualiti keputusan kita hari ini akan mempengaruhi kualiti kehidupan kita di masa depan.

Wednesday, December 2, 2009

Perubahan Tarikh Perbiu BLP

Salam kemaafan banyak-banyak. Prebiu BLP yang sepatutnya di adakan pada 12hb Disember 2009 ini akan ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Ini disebabkan saya harus menghadiri satu mesyuarat penting di Guangzhao China pada 11 hingga 14 Disember ini berkaitan dengan 'The Balance Living City'. Harap maklum dan harap maaf.