Salam Hormat dan Salam Tahun 2012.
Syukur Alhamdulillah, kita masih dipertemukan lagi dalam blog ini. Diharap kalian dalam keadaan sihat, ceria, tenang, bahagia dan maju jaya dalam kehidupan seharian.
Sebenarnya, tidak kira bagaimanapun dan dimanapun keadaan kita sekarang, tentu ada perkara baik yang berlaku kepada diri kita yang harus kita syukuri disepanjang 2011. Saya pernah diingatkan oleh ibu saya, bahawa jika kita banyak bersyukur, tuhan akan tambah nikmatNya untuk kita.
Bagi saya, tahun 2011 adalah tahun yang paling pantas berlalu yang pernah saya rasakan disepanjang hayat ini. Meskipun setiap tahun mempunyai corak dan kenangannya yang tersendiri, namun tahun 2011 meninggalkan memori yang amat mendalam kepada saya. Ini kerana ia merupakan fasa penting yang berpotensi untuk merubah corak kehidupan saya di masa akan datang. Genap 2hb Januari (02012012) tahun ini, saya telah mencecah usia 50 tahun. Segelintir orang berpendapat, usia hanyalah suatu angka semata-mata, tetapi apa yang penting ialah disebalik angka tersebut, terdapat pengalaman tambah nilai yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.
Saya bersyukur kerana disepanjang 2011, saya telah diberikan kesihatan tubuh badan, kecergasan minda, ketabahan emosi, keberkatan rezeki dan kesepaduan sokongan serta kasih sayang keluarga dan rakan-rakan untuk meneruskan perjuangan merealisasikan impian saya. Kehidupan saya di tahun 2011 boleh diibaratkan seperti kisah berikut;
Al kisah, terdapat seorang lelaki setengah abad berjalan ditepian pasir pantai, menghadap lautan lepas, sambil merentas riak-riak ombak kecil. Sesekali dia digamit oleh angin sepoi-sepoi bahasa. Perlahan-lahan, lelaki itu mula berenang di dalam air, kemudian menyelam ke dalam lautan jernih membiru yang kaya dengan pelbagai khazanah. Ketika dia berada dalam air di pinggiran pantai itu, suhu air terasa begitu nyaman. Diketika itu, dia dapat melihat pemandangan kumpulan ikan yang bermain-main di batu karang yang indah berwarna warni dan bergerak melambai-laibai dialun arus, disebalik air yang jernih.
Namun dia tidak leka dengan pemandangan tersebut kerana itu bukanlah tujuannya ke situ. Tujuan sebenarnya ialah untuk menyelam jauh ke dasar lautan dalam, bagi mendapatkan ‘mutiara’ yang dikawal rapi oleh cengkerang dan entah apa lagi misteri atau bahaya yang mungkin ada disitu. Mutiara yang dicari itu adalah tinggi nilainya dan hanya orang-orang tertentu saja yang boleh memilikinya. Mutiara itu amat penting bagi si lelaki itu kerana mutiara itu akan menjadi asbab yang diperlukannya untuk merubah kehidupannya.
Sebelum itu, si lelaki tadi telah mendengar beberapa kisah tetang keindahan perjalanan mencari mutiara daripada beberapa orang yang terdahulu. Mereka telah memberinya lokasi dan tunjuk ajar kaedah untuk mendapatkan mutiara tersebut secara langsung. Kini setelah ia mengalami sendiri, barulah ia sedar, bahawa perkara itu bukanlah semudah yang diceritakan. Lebih-lebih lagi ketika mengharungi pengembaraan menyelam ke dasar lautan. Semakin dalam ia menyelam, semakin mengigit suhu dan tekanan dirasakan. Pemandangan dilautan dalam semakin kabur dan perasaannya semakin gemuruh. Apa yang kedengaran hanyalah degupan jantungnya sendiri. Ini kerana hanya ia seorang diri didalam lautan itu, rakan-rakan lainnya hanya menunggu di tepian pantai.
Si lelaki tadi perlu mengerahkan seluruh kudrat dan mengaplikasi setiap ilmu dan teknik yang pernah dipelajari sebelum ini. Jika stamina dan daya ketahanannya alang-alang, mungkin dia akan berputus asa dan timbul ke permukaan air, melangkah pulang dengan longlai dan singgah ke kedai membeli mutiara lain mengikut harga di pasaran biasa. Sedangkan dia sebenarnya ingin menyelam terus bagi mendapatkan sumber mutiara asli agar dapat melangkaui urusniaga secara luar biasa menggunakan ‘Strategi Lautan Biru’.
Syukurlah, daya juang si lelaki masih cekal. Dengan segera dia berusaha mengalihkan tumpuannya daripada masalah kesusahan yang membelenggu ketika itu, kepada bayangan dan imbasan ‘hasil’ yang bakal dikecapi jika ia berjaya mengutip mutiara. Lantaran itu, dia membuat keputusan untuk memujuk hatinya, menenangkan dirinya dan menerima hakikat tujuan asalnya menyelam di lautan itu. Usaha tersebut telah berjaya mendorongnya untuk meneruskan misinya. Pesanan orang-orang tua “alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’ berkumandang disanubarinya. Dia perlu mengawal dan mencari keseimbangan diri. Dia harus menerima hakikatnya bahawa apa yang dilakukannya itu memang memerlukan stamina, keberanian dan keazaman yang nekad.
Si lelaki terus menyelam dan menyelam lagi, hinggalah dia sudah berada di dasar lautan. Nah! disitu dia dapat melihat kilauan mutiara dihadapannya, bahkan hanya beberapa jarak saja daripada jangkauannya. Ketika semakin menghampiri mutiara tersebut, kegelisahan si lelaki tadi perlahan-lahan bertukar menjadi kegirangan. Ia kini menyaksikan sendiri kilauan mutiara di depan mata kasarnya, yang suatu ketika dahulu, hanya berada di dalam bayangan mindanya sahaja.
Diketika itu, dia sudah boleh mengukir senyuman yang bertonggakkan satu harapan baru menyelubungi jiwa raganya. Dalam pada itu, dia sedar bahawa dia harus mengumpul mutiara-mutiara tersebut dan segera kembali mendapatkan rakan-rakannya yang masih berada di tepian pantai, menanti kepulangannya dengan penuh tanda tanya. Walau bagaimanapun si lelaki tadi harus bijak mengutip mutiara yang asli sahaja dan berhati-hati agar terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman atau kepalsuan yang boleh merugikan. Hanya sedikit saja lagi kesabaran, kecekalan, ketabahan dan usaha, keberhasilan pasti dikecapi!
InsyaAllah saya berazam untuk melihat bibit-bibit usaha yang saya fokuskan sejak kebelakangan ini, tumbuh, berbunga dan berbuah membawa hasil. Saya berhajat untuk menerbitkan Buku Dr Mile-BLP dalam tahun 2012 ini bermula dengan program ulung ‘ESMAL Corporate Retreat 2012’ di kaki gunung Kinabalu pada bulan Januari 2012.
Semoga tahun 2012 membawa lebih makna dalam kehidupan kita semua.
Salam hormat dan selamat maju jaya.
Dr Mile
02012012
Tuesday, January 3, 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)