Salam hormat dan Salam Tahun 2011.
Syukur Alhamdulillah, kita masih dipertemukan lagi dalam blog ini. Diharap kalian dalam keadaan sihat, ceria, tenang dan maju jaya dalam kehidupan seharian. Walaupun sudah hampir 1 tahun setengah blog ini sepi, namun bagi saya, rasanya baru sepurnama saja. Begitu pantas masa berlalu.
Kali terakhir saya menulis dalam blog ini ialah pada 11hb Februari 2010. Diketika itu saya perkirakan sudah hampir masanya untuk melahirkan BLP kepada dunia dalam pakej yang lebih baik dan terancang. Beberapa program berkaitan BLP telah siap saya gubal dan sedia untuk dilaksanakan. Buku ulung BLP, yang ketika itu, saya rasa telah hampir siap, telah sedia untuk diterbitkan dalam beberapa siri oleh penerbit yang bertauliah. Saya sendiri telah merekabentuk muka hadapan beberapa siri buku BLP itu. Beberapa orang telah dikenalpasti untuk dilatih menjadi tenaga fasiltator BLP dan satu badan khas yang akan mengurus aktiviti BLP telah dirancang penubuhannya serta bermacam-macam lagi persiapan. Namun realitinya, hingga saat ini, BLP masih belum lagi dilahirkan kepada tatapan umum dunia.
Jka di tanya “kenapa?”. Saya boleh membuat alasan dan mengatakan bahawa ‘Kita, sebagai manusia hanya mampu merancang, Allah SWT yang menentukan’. Itu adalah hakikat. Tapi, dalam pada itu, saya juga mengaku bahawa faktor kelemahan dan kelalaian diri saya sendiri adalah salah satu punca yang menyebabkan kelewatan terbitnya buku BLP kepada dunia.
Namun, apa yang lebih menarik ialah, ketika saya berusaha menghayati amalan BLP dalam kehidupan seharian, saya mengalami beberapa kejadian atau fenomena dalam kehidupan ini yang telah menjadikan saya semakin bersemangat dan teruja.
Di antaranya ialah, saya menyakisikan sendiri secara ‘live’ beberapa perkara yang saya impikan dan doakan, bahkan yang pernah terlintas di sanubari saya, seolah-olah ‘tertarik dan mendatangi saya’ atau mungkin tidak keterlaluan jika saya menggunakan perkataan ‘dihantar’ kepada saya. Seolah-olah alam ini begitu bersahabat baik dengan saya dan mendorong saya menuju ke ‘pintu-pintu peluang rezeki’ ataupun “the doors of opportunities” yang bibentangkan dihadapan saya.
Semua ini semakin ketara sekembalinya saya daripada menunaikan ibadah Umrah pada bulan Ramadhan 2009. Saya begitu bersyukur dan bergembira dengan apa yang disajikan dalam stor perbendaharaan kehidupan saya dari satu pintu ke pintu yang lain. Saya pernah diajar bahawa ‘Barang siapa bersyukur dengan apa yang dia ada, Allah akan tambah nikmat itu dengan apa yang dia belum ada’. Sebab itulah kehidupan saya sekeluarga adalah ‘simple’.
Salah satu prinsip yang kami amalkan dalam keluarga ialah ‘Bersenang-senanglah walaupun susah’. Bagi saya, kita tidak tahu bila kita akan senang jika kita hanya mahu ‘bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian’ . Sebab itulah saya akan mengambil masa walaupun sekejap, lari dari kesibukan, dan membawa keluarga untuk ‘bersenang-senang’ dengan cara tersendiri, mengikut kemampuan saya pada ketika itu, walau hanya dengan roti canai dan teh tarik sahaja atau pun bersiar-siar menonton movie. Lumrahnya ketika kami meraikan sesuatu pencapaian walaupun kecil ‘celebrating small success’.
Dalam pada itu, secara peribadi, saya sudah ‘nampak’ (dengan mata minda) beberapa pintu besar yang tersergam indah, hanya menanti saat untuk dibuka sahaja. Walaupun keinginan saya meluap-luap untuk terus ke situ, namun saya pasrah dan akan menempuhnya mengikut arus alam ini, satu demi satu (one at a time). Alam ini telah menunjukkan kepada saya tanda-tandanya “signals in life”. Tanda-tanda ini juga dibentangkan oleh alam pada anda dan setiap orang dimuka bumi ini. Beruntunglah orang-orang yang boleh membaca alam ini umpama buku dan kompas dan mengemudi kehidupan sewajarnya.
Dalam konteks ini, saya ibaratkan kehidupan saya, umpama dalam satu pengembaraan menaiki perahu meredah sungai, bermula dari hulu menuju ke kuala. Pengembaraan saya bermula dengan riak-riak air yang tenang dan menyeronokkan, kemudian saya terus dibawa arus yang mengalir lancar dan lama–kelamaan arus itu menjadi semakin deras hingga ketika terpaksa melalui jeram dan arus deras yang menghempas. Daripada hanya rasa seronok, saya mula merasa cemas. Lebih-lebih lagi, apabila berkali-kali saya ditenggelami air, yang ada kalanya membuat saya hampir-hampir lemas. Namun, walau dalam keadaan tertekan (stress) dan teramat letih, saya masih mampu bertahan dan berdayung meneruskan pelayaran. Saya yakin tentu ada destinasi dalam pelayaran ini selain menikmati pengembaraannya (the journey) – (seperti lirik dan melodi lagu ‘The Climb’ Miley Cyrus).
Jauh dalam firasat saya mengatakan bahawa, arus ini akan membawa saya menjangkau di kuala, bahkan selepas ini saya dapat rasakan yang pengembaraan ini akan diteruskan dengan manaiki bahtera untuk belayar terus menuju ke lautan lepas. Saya telah membuat keputusan dan mempersiapkan diri untuk itu. Saya ingat kata azimat orang tua-tua, “alang-alang mandi, biar basah”, “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai kepangkal lengan’.
Mungkin berbekalkan sedikit ilmu di dada, saya dapat memahami, bahawa segala bentuk cabaran, ujian dan dugaan yang saya tempuhi hanyalah hukum-alam ataupun ‘sunnatullah’ Ibarat batu berlian, nlai dan kualitinya sebenarnya banyak disebabkan oleh sejarah riwayat hayatnya dalam perut bumi melalui tekanan ‘pressure’ yang maha hebat beratus-ratus tahun bahkan ribuan tahun lamanya. Kemudian apabila dipindahkan (berhijrah) kemuka bumi, nilainya masih tidak terserlah langsung (bahkan hanya sebutir batu kasar), kecuali setelah melalui proses ‘diamond cutting’ oleh ahlinya (guru atau pembimbing) sehingga menjadi pelbagai bentuk. Selepas berjaya melalui proses ini, barulah nilainya hakikinya benar-benar terserlah tidak kira walau dimana pun dia berada, hatta dalam longkang sekali pun ‘umpama ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya’. Tiada sesiapa lahir di dunia ini dan terus pandai berjalan atau berlari. Semua mahluk harus mengalami proses pembelajaran. Itulah ragam kehidupan.
Sehubungan dengan itu, kalau ingin belajar, belajarlah dengan betul. Selain ‘trial and error’ kita harus berguru dengan ahlinya. Saya mempunyai ramai guru dan pembimbing dalam bidang yang berlainan. Mungin aneh bagi sesetengah orang, tetapi, saya juga berguru dengan alam. Saya bukan hanya membaca buku, saya membaca tanda-tanda alam (the signals of life) dan menterjemahkan dalam konteks kehidupan untuk maju kehadapan.
Sesungguhnya disepanjang setahun setengah kita tidak bersua dalam blog ini, terlalu banyak perkara dan peristiwa berwarna warni dan beraneka rasa, yang berlaku dalam diri saya, yang saya alami secara langsung mahupun tak langsung. Semua ini membawa pengertian dan makna besar dalam kehidupan saya, keluarga saya, dan orang-orang dalam lingkungan saya. Sememangnya ini memerlukan kecekalan, kesabaran, daya tahan dan daya juang yang kuat. Pastinya harus berbekalkan ilmu, amal, syukur dan sabar. Saya ingat kata-kata guru saya ‘apabila kamu telah nekad, bertawakallah kepada Allah’ berkumandang dalam sanubari ini. Lantaran itu, saya pasrah, saya redha dan saya siap sedia berjuang.
Kini apabila saya muhasabah kembali, rupa-rupanya masih terlalu banyak lagi yang harus saya lakukan sebelum buku BLP itu diterbitkan. Ini tidak bererti saya menantikan sesuatu yang sempurna (perfect), tapi saya ingin membuktikan sesuatu pengesahan konsep (proof of concept) yang akan menerangkan dengan sendirinya manifestasi daripada intipati BLP secara hakiki apabila diamalkan dan dihayati dalam kehidupan seharian. Saya beriltizam, akan melahirkan BLP ke persada dunia apabila saya telah membuka pintu besar yang saya katakan di atas tadi. Selepas itu, kalau ada izin Allah, saya nekad untuk meredah lautan lepas bersama-sama anda dan sesiapa juga yang berada dalam lingkungan saya.
InsyaAllah kita jumpa lagi dikesempatan lain, doakan untuk saya.
Sekian dan semoga sentiasa maju jaya.
Salam Hormat
Dr Mile
Monday, May 30, 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)