( Sudah menjadi kebiasaan saya untuk menulis ketika dalam perjalanan jauh semasa kerja. Ini bertujuan untuk dikongsikan sebagai bahan bacaan dan hiburan zuriat dan cucu-cicit saya. Berikut adalah salah satu nukilan yang saya coretkan semasa dalam penerbangan ke Kota Kinabalu daripada Kuala Lumpur pada 11 hb Jun 2011 jam 9.45 malam.)
*******
Pertama kali saya diperkenalkan dengan peribahasa Inggeris “Don’t count your chicken before they hatched”, ialah pada awal tahun 70an semasa berada di sekolah menengah ‘St Patricks Secondary School, Tawau’ oleh Mr. Kurian. Pada ketika itu, kefahaman saya terhadap peribahasa ini ialah ; “Jangan terburu-buru membuat kesimpulan apabila sedang mengusahakan sesuatu, sebaliknya tunggulah sehingga ke saat akhir apabila kenyatan usaha itu telah menghasilkan bukti secara objektif, barulah bergembira”.
Ini bermakna, walaubagaimana tingginya pengharapan kita terhadap sesuatu perkara yang diusahakan, kita harus bersabar hinggalah ke saat akhir, iaitu apabila telah jelas terbukti, keputusan ataupun penghasilan akibat daripada perkara yang kita usahakan itu. Dikala itu barulah kita wajar mengistiharkannya. Dalam perkataan lain, kita hendaklah boleh membezakan antara fakta (facts) dan pendapat (opinion).
Contohnya, jika kita menternak ayam, dan ia mengeluarkan 10 biji telor, kita tidak seharusnya melaung-laungkan bahawa kita sudah mempunya 10 ekor ayam. Ini kerana, apa yang ada dalam tangan kita ialah ‘telor’ ayam (in fakta); belum lagi ‘ayam’ (Pendapat) secara hakiki. Sememangnya potensi untuk mendapat 10 ekor ayam memang ada, dan tinggi, tetapi sehingga tiba saat ke semua telur itu menetas, barulah kita boleh memperakui bahawa kita ada 10 ekor ‘anak’ ayam.
Apabila kita tekun memelihara telur-telur ayam itu mengikut kaedah yang sepatutnya, dalam satu jangkamasa yang lumrah mengikut sunatullah (hukum alam), dan jika ada rezeki daripada Allah, barulah kita akan mendapat 10 ekor anak ayam secara hakiki. Ketika itu, terserahlah kepada kita untuk membuat apa sahaja terhadap anak-anak ayam tersebut samada untuk dibesarkan, dijual atau dijadikan apa sahaja : kerana dalam hukum alam, ia adalah ‘milik’ataupun ‘harta’ kita.
Namun, ada juga keadaan dimana 10 biji telor ayam itu, tidak akan menghasilkan 10 ekor ayam secara hakiki. Ada kemungkinan kita hanya akan mendapat 8 ekor, atau 5 ekor, atau langsung tidak ada ayam sama sekali! Perkara ini boleh berlaku disebabkan banyak faktor; samada faktor luar jangka seperti bencana alam, wabak penyakit, pencerobohan, kecurian dan sebagainya akibat daripada perkara diluar kawalan kita ataupun faktor-faktor dalaman akibat daripada kecuaian, kelemahan mahupun kesalahan kita sendiri. Kita akan hampa, kecewa dan mungkin juga malu, jika ketika kita mendapat 10 biji telor ayam, kita sudah menghebahkan kepada dunia bahawa kita sudah mendapat 10 ekor ayam. Ini adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan.
Sebenarnya peribahasa seperti ini timbul, hasil daripada pengalaman orang-orang yang terdahulu daripada kita mengikut cara kehidupan mereka diketika itu. Inilah khazanah warisan peninggalan nenek moyang kita yang bertujuan untuk pedoman zuriat mereka di masa akan datang. Sememangnya kita harus berterima kasih.
Berbalik kepada peribahasa yang awal tadi, saya mula melihatnya secara kritis apabila saya menjejak ke tingkatan enam, universiti dan seterusnya apabila berkerjaya sebagai seorang konsultan Sistem Pengurusan Kualiti yang bertauliah dengan IRCA UK, New Zealand, Australia dan Malaysia. Pendedahan saya dengan pelbagai konsep dan falsafah dalam dunia alaf baru, yang menganjak paradigma seperti konsep ‘kecacatan-sifar’ (zero-defect) dan ‘Sistem Pengurusan Prestasi’ (Performance management system), standard piawaian dan lain-lain lagi, telah membuatkan saya mencabar peribahasa ini. Pada ketika itu, saya melihat dalam konteks bahawa jika peribahasa itu diamalkan, ia boleh menjadi satu kelemahan kerana seolah-olah ‘semangatnya’ tidak mempunyai keyakinan atau kecekapan ke arah menghasilkan kecacatan-sifar (zero-defect). Ia lebih bersifat ‘reaktif’ dan bukannya ‘proactive’. Barangkali peribahasa itu hanya layak berada dalam fikiran orang ‘tua-tua’ yang sudah ketinggalan zaman.
Apabila saya telah berkeluarga dan berkerjaya sebagai seorang usahawan dalam dunia perniagaan, saya dapati realiti persaingan untuk mencari penghidupan (to make a living) bagi menyara diri dan keluarga di zaman ini, adalah amat sengit. Peluang (opportunities) sentiasa menjadi rebutan, kepantasan (speed) menjadi pengukur kejayaan dan pengurusan risiko menjadi sangat kritikal. Budaya kerja teramat mendesak, sehingga timbulnya ungkapan-ungkapan seperti ‘Law of the jungle : Law of survival’ yang menekankan bahawa hanya yang kuat sahaja boleh maju (only the strong survive) dan tiada ruang untuk yang lemah dan tidak cekap (No room for the weak and incompetence). Ekspektasi manusia terhadap prestasi dan pencapaian hasil semakin memuncak dan menjadi trend kehidupan alaf baru. Barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa di zaman canggih teknologi alaf baru ini, seolah-olah tiada yang mustahil. Lantaran itu, dalam konteks teknologi canggih berdasarkan prinsip ‘zero-defect’ di zaman ini, kita harus boleh menghasilkan 10 ekor anak ayam, setiap kali kita ada 10 biji telor.
Kesemua ini telah membuat saya melihat peribahasa tadi dengan kritis dan melihatnya sebagai sesuatu yang melemahkan, tidak optimstik dan bercanggah dengan falsafah berfikiran positif serta perancangan pengurusan risiko.
Namun, kini setelah mengangkau usia 50 tahun, setelah melalui liku-liku hidup yang beraneka corak, warna dan rasa, saya dapati perubahan dalam diri saya. Ini lebih-lebih lagi apabila saya melalui sendiri realiti kehidupan (facts of life) dalam perjalanan mencapai impian. Terdapat banyak pengalaman yang diluar dugaan dan diluar perkiraan sama sekali, walaupun dikala itu, saya telah membuat 100% persediaan dan perancangan. Namun, apa yang menarik ialah, saya dapati dalam kehidupan ini, tidak kira bagaimana pahitnya peristiwa yang pernah kita hadapi, tetapi jika ia diakhiri dengan peristiwa manis, kita akan lupa kesusahan tersebut bahkan ia bertukar menjadi suatu kebangaan pula kerana pernah melaluinya dan akan dijadikan bahan cerita sejarah kehdupan. Ini memang pelik tapi itulah juga realiti kehidupan: Kemanisan boleh mengatasi kepahitan.
Setelah puluhan tahun meredah arus dengan semangat waja dan keberanian jati, sampai suatu ketika, saya berhenti sejenak dan coba melihat segala peristiwa dalam kehidupan ini umpama menonton sandiwara dalam TV dimana saya sendiri adalah pelakon utamanya. Saya belajar mengenal alam ini, dan mula bersahabat dengannya. Saya coba memahami arus kehidupan dari kacamata insaniah dan alamiah bukan hanya ilmiah semata-mata.
Mungkin ada orang akan mengatakan bahawa saya sudah ‘worn-out’, kendur atau hilang taring. Ya..mungkin juga ada benarnya. Maklumlah orang sudah ‘seasoned’. Sebagai seorang insan, saya akui saya ‘pandai letih’ dan memang letih. Ibarat meredah sungai melawan arus deras yang memerlukan banyak tenaga memang sungguh meletihkan. Jika orang lain mengatakan mereka tidak pernah menyerah kalah, saya dengan jujur mengakui bahawa saya pernah menyerah kalah. Ini kerana, saya tidak akan meneruskan sesuatu jika saya sudah pasti (berdasarkan analisis fakta, rekod dan data) perkara itu akan menemui kegagalan atau kebuntuan apatah lagi jika tindakan pencegahan dan pembetuan telah diambil. Sebagai ‘risk-taker’ saya akan membuat keputusan untuk menerima sahaja itu sebagai suatu kegagalan. Memang sudah adat berniaga, pasti ada untung ruginya. Apa yang pasti ialah, saya tidak pernah menyesal dan saya dengan pantas terus mengorak langkah kearah perkara seterusnya. Saya tidak memaksa keadaan, sebaliknya saya akan akur dan belajar mengikut arus kehidupan.
Semakin saya bersahabat dengan alam dan kehidupan ini, semakin itulah saya merasa bertambah yakin pada diri saya sendiri. Saya emakin menjadi lebih rasional dan waras. Saya rasa ini adalah proses biasa yang juga ditempuhi oleh ramai orang sebelum mahupun sesudah saya. Barangkali inilah proses ‘pendewasaan’ dan ‘kematangan’. Walaupun agak lambat kerana hanya menyedarinya setelah setengah abad berlalu, namun saya bersyukur.
Kini saya semakin lebih berani membuat keputusan atas diri saya sendiri sebagai insan yang merdeka. Saya tidak lagi hanya menjadi pak turut kepada tekanan suasana, keadaan atau rakan sebaya. Saya sedar bahawa setiap detik dan setiap ketika dan keadaan, semua manusia harus membuat keputusan untuk dirinya sendiri. Saya juga sedar bahawa kita harus menggunakan akal dan fikiran berpandukan ilmu di minda dan dada serta pedoman di jiwa dan alam, sebelum mengambil sebarang tindakan.
Sesungguhnya, apa juga keputusan yang kita ambil, akan mempengaruhi kualiti diri, keluarga dan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Apapun saya mengaku bahawa bukan senang menjadi insan yang ‘khawas’ iaitu ‘insan yang sentiasa sedar dan peka tentang perihal ehwal yang berlaku pada dirinya dan persekitarannya’ kerana itu adalah pembelajaran seumur hidup.
Sehubungan dengan peribahasa yang menjadi tajuk coretan kali ini, sebenarnya pengalaman seharian saya semasa menjalani kehidupan khususnya dalam dunia perniagaan, telah banyak mengajar saya untuk menerima hakikat kehidupan. Ada beberapa kesimpulan yang saya akur;
Pertama: Tiada sesiapa atau sesuatu yang boleh mencapai 100% sifar cacat. Walaupun konsep ‘zero-defect’ ini boleh digunapakai dalam beberapa konteks akademik seperti dalam menduduki peperiksaaan, dalam sektor pembuatan dll, namun dalam kehidupan, ia jauh berbeza. Ini kerana terlalu banyak ‘variables’ luar jangka yang harus diambilkira dalam kehidupan.
Kedua: Kuasa mutlaq 100% hanya milik Tuhan. Apa juga kuasa yang ada pada kita, hanyalah pinjaman daripada Allah semata-mata. Dengan kuasa terhad itulah kita merancang secara strategik dan efisyen. Namun hanya dengan kuasaNya yang Maha Perkasa dan izinNya barulah boleh terjadinya sesuatu. Hakikatnya, Allah yang Maha berkuasa atas segalanya. Inilah yang dikatakan Iman. Justeru, kita harus meminta padaNya. Sesuai dengan tuntutanNya. “Mintalah kamu kepada Ku, nescaya Aku beri”. “Apabila kamu telah berazam, nekad dan berusaha, bertawakallah kepada Allah”. “ Aku adalah dalam sangkaan hamba Ku, Jika ia sangka baik maka baiklah, jika ia sangka buruk, maka buruklah”, “Adakah kamu yang menciptakannya ataukah Aku?” dan banyak lagi petikan-petikan daripada Kitab Suci. Persoalannya ialah, saya sudah meminta, kenapakah a belum memberi? (Bab ini kita bicarakan dinukilan lain kerana agak panjang jika dihuraikan disini).
Ketiga: Hidup di atas muka bumi ini perlukan iman. Walaumacamana hebat dan berjaya sekalipun hasrat kita untuk maju-jaya, di dalam apa bidang sekalipun, kita tidak akan menikmati erti kebahagiaan sebenar tanpa iman. Dengan adanya iman, akan timbulnya rasa syukur di atas segala nikmat yang kita miliki walau sekecilmana ianya dan rasa sabar atas apa juga yang kurang. Iman yang baik akan mempengaruhi serta mendorong anggota badan kita untuk menyusuli dengan amalam yang baik. Amalan yang baik pula akan menyuburkan iman tersebut. Iman juga akan memimpin kita untuk hidup dengan harmoni dengan alam sehingga kita berpisah dengan alam dunia ini dan kembali ke alam akhirat.
Ke empat: Harus ada keseimbangan antara perancangan dan pelaksanaan (planning & implementation). Secara tiori, ramai pengkaji sains pengurusan, berpendapat bahawa pada dasarnya, nisbah antara perancangan dan perlaksanaan, khususnya dalam pengurusan projek, adalah 70% perancangan dan 30% perlaksanaan. Pada pendapat mereka penumpuan harus diberikan lebih teliti terhadap perancangan kerana disinilah pencegahan diperketatkan agar tidak berlakunya ‘fire-fighting’ ataupun tindakan-tindakan pembetulan semasa perlaksanaan. Perlaksanaan diberikan sedikit nisbah kerana disini, kerana ia hanya mengikut apa juga yang telah dirancang. Sebagai seorang ‘System-Man’ memang begitulah kaedah saya, bukan hanya semasa memberikan sesi konsultasi tetapi juga memang saya amalkan dalam kerjaya. Namun dalam kehidupan, saya berpendapat bahawa perlunya keseimbangan dalam perancangan dan perlaksanaan. Dalam pada itu, apa yang tidak kurang pentingnya ialah, kesediaan minda dan jiwa kita untuk menghadapi, menerima dan mengalami sebarang perubahan serta mengambil langkah proaktif untuk terus maju kehadapan selepas itu dan tidak cepat panik atau putus asa. Kita harus praktikal, cekal, yakin dan percaya kepada kebolehan kendiri dan ketentuan Ilahi.
Kelima: Dalam setiap perancangan atau tindakan, tidak kira bagaimana optimis sekalipun kita terhadap apa yang telah kita rancangkan, kita perlu mempunyai ‘contingencies, options and alternatives measures’ dalam bentuk jangka pendek, sederhana mahupun jangka panjang. Ini untuk mengelakkan kita daripada panik sekiranya perkara yang telah kita rancang awal tadi menemui jalan kebuntuan atau bermasalah. Apabila seseorang tu panik, dia akan terdorong untuk bertindak secara terlalu emosional dan akaibatnya terdedah kepada perkara-perkara yang hanya akan mengeruhkan keadaan dan merugikan.
Ke enam: Orang tua-tua memiliki ‘wisdom’ dalam ‘realm’ teknologi yang tersendiri yang bukan hanya perlu kita hargai tetapi harus kita fahami, hayati dan pelihara (preserve), serta perturunkan kepada generasi akan datang. Kalau hendak dihitung, entah berapa banyak sudah warisan nenek moyang kita yang telah mati ditelan zaman atau ikut bersama mereka apabila mereka meninggalkan alam dunia ini. Kebanyakan anak-anak muda sekarang tidak akan memahami hakikat ini, kerana mereka terlalu sibuk dengan kehidupan muda mereka. Ini ditambah dengan ketiadaan atau kurangnya ‘mentorship’ mahupun ‘parenthood” yang ‘baik’ dari kalangan orang tua. Pendek kata, semua tak kira muda atau tua, dan disemua peringkat dalam komuniti, sedang mabuk dilanda arus teknologi siber dan kehidupan material dan sosial ala dunia akhir zaman. Bengitulah mencabarnya dunia yang kita lalui ini sekarang.
Justeru itu, walau bagaimanapun proaktifnya dan positifnya pemikiran serta motivasi diri kita, eloklah kita mengambil iktibar daripada peribahasa – “Jangan kira anak ayam anda sebelum telur ayam menetas”, kerana banyak hikmah didalamnya. Disamping itu hayatilah juga hikmah yang terkandung dalam peribahasa “Jangan kerana mendengar guruh dilangit, air dalam tempayan di buang”.
Semoga maju jaya di dalam keseimbangan.
Salam Ramadhan Al’Mubarak
Dr Mile